suria

Tiga Jurulatih, Siapa Pilihan TRW

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dilaporkan sedang mempertimbang seorang daripada tiga jurulatih yang berpotensi untuk mengendali skuad The Red Warriors (TRW) pada aksi Liga Malaysia musim depan.

Menurut sumber dalaman persatuan itu, daripada tiga calon yang disebut-sebut, dua merupakan jurulatih import manakala seorang lagi jurulatih tempatan.

"Setakat ini kita ada tiga calon, dua import... seorang tempatan. Namun ketiga-tiganya mempunyai rekod cemerlang bersama pasukan masing-masing," katanya kepada mStar Online.

Ditanya mengenai calon jurulatih tempatan itu, sumber tersebut berkata individu terbabit pernah mengemudi sebuah pasukan Liga Super.

"Ya (jurulatih Liga Super). Kontraknya habis tahun ini," katanya ringkas.

Bagaimanapun sumber tersebut enggan mengulas lanjut dan memberitahu keputusan akhir mengenai perkara itu hanya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang akan diadakan sebelum pengumuman senarai pemain dan jurulatih petang Sabtu.

"Kita akan bincang dulu sebelum pengumuman rasmi dibuat petang esok," katanya.

Sementara itu, sumber tersebut berkata Kafa turut memberi kepercayaan kepada pemangku jurulatih, Sathit Bensoh untuk memilih pemain yang bakal memantapkan skuad TRW musim depan.

"Buat masa ini pemilihan pemain dilakukan Sathit Bensoh memandangkan dia pernah menjadi pembantu jurulatih. Dia juga lebih mengenali corak pemain yang masih bersama Kelantan," katanya.

Kafa akan mengumumkan barisan kejurulatihan dan juga pemain TRW untuk saingan Liga Malaysia musim depan selepas selesai mesyuarat Exco Kafa kira-kira pukul 2 petang Sabtu.

Menurut beberapa blog penyokong TRW, beberapa bekas pemain kemungkinan menyertai TRW semula antaranya pemain sayap Felda United, Wan Zack Haikal Wan Noor; pemain sayap Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria; penyerang FELDA United, Norshahrul Idlan Talaha, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shakir Shaari dan penyerang JDT, Mohammed Ghaddar.

Namun spekulasi Ghaddar bakal kembali menyarung jersi Kelantan dinafikan Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Jelas Bibi, gaji Ghaddar adalah diluar kemampuan Kafa.

TRW, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain