suria

Kedah Yakin Dapat Pertahan Piala Malaysia

ALOR SETAR: Kedah yakin dapat mempertahankan kejuaraan dengan memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor pada 4 November ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata jika pemain bermain bersungguh-sungguh dan main sebagai satu pasukan mantap, tidak mustahil kejayaan akan menjadi milik skuad Hijau Kuning itu.

"Saya harap semua pemain bermain penuh bersemangat untuk menang seterusnya mempertahankan Piala Malaysia 2017...tahun lepas sudah lawan Selangor dan tahun ini dengan JDT (Johor Darul Ta'zim).

"Saya selaku Presiden KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) yakin Piala Malaysia dapat dipertahankan... bukan dibawa balik kerana sudah ada di Kedah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini Rabu.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri akan menyediakan bonus kepada pemain dan pegawai jika pasukan itu menjuarai Piala Malaysia, namun jumlahnya belum boleh diumumkan lagi.

"Dulu pun beri bonus kepada pasukan selepas berjaya membawa balik Piala Malaysia 2016 dan kali ini ada juga tetapi mungkin lebih sikit," katanya.

Selain itu, katanya KFA sedang dalam proses melunaskan ganjaran kepada pemain-pemain sebanyak RM10,000 setiap seorang selepas menewaskan Felda United 2-0 di peringkat separuh akhir dengan agregat 3-1 baru-baru ini.

"Proses itu sedang berjalan dan berharap sebelum final bayaran kepada pemain dapat diselesaikan," katanya.

Ahmad Bashah turut menasihatkan pemain agar fokus kepada perlawanan penting itu dan tidak menumpukan hal-hal berkaitan kontrak dan isu-isu yang sengaja ditularkan di media-media sosial sebelum ini.

"Depa (mereka) di luar tak faham, biasalah cakap-cakap orang...kalau ada pun KFA tak tahan pemain yang nak berhijrah jika membawa kebaikan kepada mereka.

"Sekarang ini saya minta pemain fokus dulu sebab bimbang nanti akan menjejaskan pasukan kerana misi kita besar iaitu mempertahankan kejuaraan yang kita menangi," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Kedah terus memberikan sokongan padu dengan memenuhi Stadium Shah Alam untuk menyokong pasukan kesayangan mereka. 

Kedah, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain