suria

Setakat Ini, Anggap Kehadiran Mario Gomez Khabar Angin

PETALING JAYA: Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar menyifatkan dakwaan pasukan Liga Super itu berminat terhadap bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez sebagai khabar angin semata-mata.

"Buat masa ini, anggaplah cerita itu sebagai khabar angin," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan atau mengiyakan spekulasi tersebut yang bertiup kencang baru-baru ini.

"Saya belum boleh buat apa-apa kenyataan lagi," katanya.

Pada 6 Oktober lalu, mStar Online melaporkan Gomez bakal kembali mewarnai pentas Liga Malaysia musim depan.

Jurulatih berumur 60 tahun itu difahamkan telah menghubungi beberapa pasukan Liga Super dan dua pasukan berstatus kelab, PKNS dan Felda sedang pertimbangkan tawaran berkenaan.

Peluang mungkin lebih terbuka kepada PKNS yang ketika ini masih tercari-cari jurulatih baharu apabila Sven Gartung direhatkan pada bulan lalu.

Tugas Gartung diambil alih penolong jurulatih, Adam Abdullah sehingga berakhir musim ini.

Tinjauan di laman Facebook PKNS FC mendapat kebanyakan penyokong Semut Merah itu berharap agar khabar angin tersebut menjadi kenyataan.

@Naim Md Amil Fuhhh berkata:"Meletop PKNS next season... Mario Gomez tu... Best best.. Kasi amok sama JDT.

"@Ashmil Johor berkata:"Wahh... baru ada fight dengan JDT! Camni lah best."

Sebagai rekod, jurulatih dari Argentina itu meninggalkan pasukan JDT dua hari sebelum perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menentang Kedah pada Januari lepas.

Sejak bersama JDT pada 2015, Gomez, 59, pernah membawa pasukan menjuarai Piala Sumbangsih (2016), Piala FA (2016), dua kejuaraan liga (2015 dan 2016) dan Piala AFC (2015).


Mario Gomez, PKNS FC

Artikel Sebelum

Doping: Sampel B Diuji Esok

Artikel Berikut

Vingada Pikul Dua Tugas

Artikel Lain