suria

Kedah Mahu Menang

ALOR SETAR: Kedah, yang menjadi tuan rumah Piala Emas Raja-Raja ke-77  meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan itu yang dijadual berlangsung pada Isnin sehingga 11 November.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, Kedah diletakkan  dalam kumpulan C untuk bersaing dengan Pahang, Terengganu, Felda United dan Putrajaya FC di pusingan awal kumpulan bermula 20 hingga 24 September.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yakin dengan kelebihan yang dimiliki Kedah, pasukan itu akan memberi cabaran yang sengit seterusnya melayakkan diri ke peringkat akhir.

“Saya yakin dengan persediaan dan percaturan jurulatih Husin Jaafar, pasukan kita boleh menjuarai kejohanan yang berprestij dan tertua di negara ini,” katanya selepas melepaskan pemain pasukan Kedah yang menyertai kejohanan tersebut di Stadium Suka Menanti di sini Isnin.

Kedah akan memulakan perlawanan bertemu Putrajaya FC pada Rabu ini di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Pegang, sebelum bertemu Pahang pada Khamis, Terengganu (Jumaat) dan Felda United pada Ahad ini.

Selepas melepasi peringkat kumpulan, pasukan yang menjuarai kumpulan akan bersaing di suku akhir pertama dan kedua pada 7 hingga 14 Oktober, separuh akhir pertama dan kedua (21 dan 28 Oktober) sebelum ke perlawanan akhir pertama dan kedua pada 4 dan 11 November nanti.

Katanya, kali terakhir Kedah menjuarai Piala Emas Raja-Raja ialah pada 1996 dan 2006, manakala naib johan sebanyak tiga kali berturut-turut pada 2009, 2010 dan 2011. - BERNAMA

Kedah, Piala Emas Raja-Raja

Artikel Sebelum

BAM: Frost Letak Jawatan

Artikel Berikut

Artikel Lain