suria

T-Team Gagal Kesan Nor Hakim

Mohd Nor Hakim Hassan.

KUALA TERENGGANU: Pengurusan skuad T-Team atau ‘The Titans' bakal mengenakan tindakan disiplin terhadap Mohd Nor Hakim Hassan, selepas pemain itu gagal menghadirkan sesi latihan pasukan berkenaan sejak bulan lepas.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammad Kamil Othman berkata, pemain berusia 26 tahun itu gagal dikesan sejak perlawanan terakhir Liga Super menentang Melaka United, 5 Ogos lepas, selain tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung 'kehilangannya'.

"Situasi ini memberi  sedikit  kesulitan kepada kami memandangkan hari ini (semalam) sudah 19 hari dia (Nor Hakim) tidak menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan sedangkan T-Team kini berdepan dengan beberapa perlawanan penting," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi tentang masalah disiplin melibatkan pemain dan bakal mengenakan tindakan tegas termasuk membatalkan kontrak bersama pasukan.

Katanya, pihak pengurusan telah melakukan pelbagai usaha untuk menjejaki pemain tersebut dan tidak dinafikan T-Team sedikit pincang tanpa keberadaannya dalam pasukan yang kini menduduki tangga kelapan dalam Liga Super.

Mohammad Kamil berkata, situasi mungkin berubah kerana masih ada ruang perbincangan antara kedua-dua pihak untuk mengenal pasti sebarang masalah.

"Namun begitu, jika perkara ini masih berlarutan tanpa penyelesaian, maka sebagai langkah terakhir ialah menamatkan kontraknya,”katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak pengurusan masih menunggu alasan serta bukti kukuh daripada pemain itu sendiri sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Untuk rekod, Nor Hakim mula menyinar bersama  pasukan T-Team sejak 2016 dan telah menyumbang lima gol dalam kempen Liga Super setakat ini serta dikaitkan dengan perpindahan ke Kuala Lumpur pada jendela perpindahan kedua musim ini. - BERNAMA

T-Team, Mohd Nor Hakim Hassan

Artikel Sebelum

Hanya Selangkah Rangkul Gelaran

Artikel Berikut

CR7 Lancar Minyak Wangi Terbaharu

Artikel Lain