suria

Pereira Gembira Tinggalkan United

Andreas Pereira

PEMAIN tengah Manchester United, Andreas Pereira hanya diberitahu dia boleh meninggalkan kelab itu secara pinjaman ke Valencia pada hari terakhir jendela perpindahan di Sepanyol ditutup.

Pemain berusia 21 tahun itu tiba di kompleks latihan Carrington pada tarikh akhir perpindahan Inggeris dan masih bersama United ketika jendela ditutup, sebelum dia terbang ke Belgium untuk menghabiskan masa bersama keluarganya.

Walau bagaimanapun, Valencia mengumumkan Pereira telah menyertai mereka secara pinjaman pada petang berikutnya selepas perubahan drastik yang tidak diketahui oleh pemain Brazil itu.

"Yang saya tahu saya tidak dapat ke Valencia dan terpaksa kekal di United," katanya kepada El Desmarque.

"Mental saya telah bersedia untuk kekal, tapi pada minit-minit terakhir keadaan berubah dan saya sangat gembira. Mereka tidak pernah menjelaskan apa masalah yang timbul kepada saya.

"Saya bimbang kemungkinan ia tak berlaku, saya berada di Belgium untuk bersama keluarga saya, menikmati cuti tiga hari, tetapi apabila diberitahu bahawa ia boleh berlaku tetapi perlu diselesaikan dengan segera, saya sangat gembira."

Bekas pemain pertahanan Valencia, Juan Mata mengucapkan tahniah kepada Pereira dan lulusan akademi United itu telah meminta nasihat daripadanya.

"Mata bercakap perkara baik mengenai Valencia," tambah Pereira.

"Dia memberitahu saya bahawa ia adalah sebuah kelab hebat dan bandarnya juga sangat baik. Dia beritahu saya peminatnya sangat bagus.

"Dia beritahu bermain di sini adalah sesuatu yang baik untuk saya. Saya mahu membuktikannya di padang."

Pereira mungkin membuat penampilan pertamanya bersama Valencia ketika menentang Atletico Madrid pada malam Sabtu.

Andreas Pereira, Juan Mata

Artikel Sebelum

Gunung Jerai Laluan Baharu JM2017

Artikel Berikut

Chelsea Bukan Pilihan Terbaik

Artikel Lain