WAYNE Rooney akhirnya bersara daripada karier antarabangsa bersama England selepas 14 tahun.
Rooney menamatkan karier antarabangsanya dengan mengekalkan rekod penjaring gol terbanyak.
Menurut kenyataan yang dibuat penyerang Everton itu, dia mengesahkan tugas sebagai pemain antarabangsa sudah sampai ke penghujung.
Bekas pemain Manchester United itu turut memberitahu pengurus England, Gareth Southgate memanggilnya menjelang perlawanan menentang Malta dan Slovakia.
Namun Rooney menolak dan memberitahu hanya ingin menumpukan perhatiannya kepada Everton.
"Sesuatu yang bagus apabila Gareth Southgate menghubungi saya minggu lalu dan mengajak untuk kembali ke skuad England. Saya sangat menghargainya.
"Bagaimana pun saya sudah berfikir panjang dan membuat keputusan sukar dengan memberitahu Gareth untuk bersara di peringkat antarabangsa.
"Ia memang keputusan berat dan dibuat selepas berbincang dengan keluarga , pengurus di Everton serta mereka yang rapat dengan saya.
"Bermain untuk England adalah sesuatu yang istimewa bagi saya. Setiap kali saya dipilih sebagai pemain atau kapten ia adalah satu keistimewaan. Saya berterima kasih kepada semua yang membantu.
"Namun, sudah tiba masanya untuk saya tinggalkannya," ujar Rooney.
Dalam pada itu, Rooney turut mengakui meninggalkan United juga perkara yang sukar dibuatnya.
"Tetapi kini saya telah membuat keputusan tepat untuk kembali ke Everton. Sekarang saya hanya mahu memberi fokus dan seluruh tenaga kepada mereka.
"Saya juga akan sentiasa mengingati penyokong-penyokong England."
Untuk rekod, Rooney mencatat 119 penampilan untuk England dengan merekodkan 53 gol keseluruhannya dan bergelar kapten sebanyak 22 kali.
Rekod penjaring gol England:
Wayne Rooney 53 gol
Bobby Charlton 49
Gary Lineker 48
Jimmy Greaves 44
Michael Owen 40
Tom Finney 30
Nat Lofthouse 30
Alan Shearer 30
Viv Woodward 29
Frank Lampard 29


