suria

Di Sebalik Ujian Ada Hikmah Buat Kedah

CABARAN yang dilalui Kedah apabila kehilangan empat pemain kerana mewakili skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara dan berdepan jadual padat ternyata mempunyai hikmah tersendiri.

Pengendali Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof mendedahkan, kekosongan yang ditinggalkan bukan sahaja memberi ruang untuk pemain simpanan malah peluang kepada pemain muda daripada skuad presiden untuk mempamerkan bakat.

"Sebenarnya kita bukan sahaja terpaksa melupakan empat pemain yang mewakili negara tetapi berdepan jadual padat bagi saingan Piala Malaysia serta Liga Super.

"Walaupun tewas di Kelantan namun, pemain muda yang diberikan peluang telah mempamerkan aksi terbaik sehingga dapat mencatat kemenangan ketika menentang Pulau Pinang.

"Apa yang berlaku ialah saya terpaksa melakukan campuran pemain berpengalaman dan muda daripada skuad presiden untuk seimbangkan kesebelasan di atas padang kerana terdapat pemain yang letih.

"Alhamdulillah, selepas bermain dengan baik, mereka akhirnya berjaya menewaskan Pulau Pinang untuk kita pulang dengan tiga mata," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam menambah, masalah kekurangan pemain dan keletihan akan dapat dikurangkan apabila empat pemain berkenaan kembali dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, pujian perlu diberikan kepada kesemua pemain termasuk Baddrol Bakhtiar yang bijak menggunakan pengalaman apabila mendapat peluang di depan pintu gol.

"Kemasukan Baddrol membantu seimbangkan semula permainan Kedah dan bukan setakat itu malah dia berjaya menambah gol untuk kita.

"Pertukaran ini dapat minimakan masalah keletihan pemain selepas berdepan jadual padat," ujarnya.

Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain