suria

Negeri Sembilan Sah Dapat Khidmat Jonathan Behe

SEREMBAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan Negeri Sembilan akan menggunakan khidmat bekas penyerang Sabah, Jonathan Behe dalam memperkuatkan barisan hadapan pasukan berkenaan.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata langkah tersebut diambil kerana yakin Behe mampu memantapkan lagi jentera serangan skuad bimbingan Mohd Asri Ninggal itu.

"Behe dilihat pilihan terbaik untuk bergandingan dengan penjaring terbanyak skuad Negeri Sembilan, Bruno Suzuki bagi mengetuai jentera serangan. Nama Behe dicadangkan dan kami sebulat suara bersetuju mendapatkan khidmatnya."

Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan melibatkan pengurus, ketua jurulatih, pengarah teknikal, kapten pasukan, pemain dan penyokong," katanya pada Isnin.

Beliau berkata dalam saingan Liga Perdana sebelum ini, Negeri Sembilan mencatat enam keputusan seri daripada 13 perlawanan, dan ini menunjukkan terdapat kelemahan di bahagian serangan.

"Oleh itu, kita perlu membuat sesuatu bagi memastikan skuad Rusa berada di tahap terbaik apabila baki saingan Liga Perdana serta Piala Malaysia, kembali bersambung pada 30 Jun ini," katanya.

Negeri Sembilan mendapatkan khidmat Behe bagi menggantikan Marko Simic yang berpindah ke Melaka United.

Sebelum ini, Negeri Sembilan meminjam dua pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dari Kelantan dan Mohd Sabree Mat Abu daripada PKNS FC.

Negeri Sembilan kini mendahului carta Liga Perdana selepas mengumpul 29 mata.

Jonathan Behe, N9

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain