suria

Muslifah Cabar Tunjuk Bukti Tidak Berdisiplin

Muslifah Zulkifli.

KUALA LUMPUR: Atlet elit menembak negara, Muslifah Zulkifli mencabar pihak yang mendakwa dirinya menghadapi masalah disiplin sehingga membawa kepada penyingkirannya daripada senarai atlet ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tampil menunjukkan bukti.

Beliau berkata dakwaan tersebut hanya sebagai satu alasan yang sengaja direka oleh pihak tertentu bagi menampakkan gambaran negatif terhadap personaliti serta prestasinya.

Pemenang pingat gangsa dalam acara 50m Rifle Prone berpasukan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan itu turut berkata beliau tidak akan berdiam diri dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

"Saya meminta pihak yang terlibat tidak kira lah sama ada persatuan, Majlis Sukan Negara (MSN) atau pun Institut Sukan Negara (ISN) untuk mengemukakan bukti dari segi apa yang menunjukkan kami ini tidak berdisiplin dan apakah penunjuk aras yang mengatakan prestasi kami tidak baik.

"Saya juga menuntut permohonan maaf secara terbuka sepertimana tuduhan ini tersebar meluas dalam media hari ini daripada pihak tersebut. Ini melibatkan maruah kami sebagai atlet dan juga perjalanan karier saya.

"Jangan jadikan sikap saya yang lantang bersuara dalam memberikan pendapat yang baik demi memajukan sukan menembak ini sebagai alasan untuk menuduh kami tidak berdisiplin. Pihak tersebut mempunyai masa sehingga hujung minggu ini untuk mengemukakan bukti atau tindakan undang-undang akan diambil," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan ekoran keputusan penyingkirannya daripada skuad menembak negara ke KL2017 di sini, Khamis.

Nasib malang yang melanda Muslifah turut menimpa penembak acara 10m Air Rifle, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim yang juga terpaksa digugurkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) ekoran masalah yang sama.

Nur Ayuni mengibaratkan penyingkirannya itu sebagai ''habis madu sepah dibuang'' selepas pengorbanan dan sumbangannya selama ini dalam usaha mengharumkan nama negara apabila terpalit dengan isu itu.

"Banyak yang saya telah berkorban dalam memberi sumbangan kepada negara. Usaha saya selama ini seperti ''habis madu sepah dibuang'' apabila diperlakukan seperti ini.

"Saya sanggup mempertaruhkan masa depan saya dengan menangguhkan pelajaran untuk menjadi atlet sepenuh masa semata-mata mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada sukan memanah dan bila sudah jadi macam ini apa lagi yang saya boleh buat," katanya.

Seramai 20 atlet membabitkan 13 lelaki dan tujuh wanita tersenarai bagi menggalas cabaran skuad menembak negara yang menyasarkan empat pingat emas pada KL2017.

Edisi kali ini menyaksikan NSAM menyenaraikan penembak muda, Nur Izazi Rosli, 17, dan Shahera Rahim Raja dalam acara 10m Air Rifle selepas kedua-duanya layak secara merit. - BERNAMA

KL2017, memanah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain