suria

Tolak West Ham Demi TRW

Abou Bakr Al-Mel.

PETALING JAYA: Kalau sudah jatuh cinta, siapa pun yang cuba merisik selepas itu pastinya akan berputih mata.

Situasi ini dialami penyerang import baharu Kelantan, Abou Bakr Al-Mel atau lebih dikenali sebagai Bako yang sanggup menolak tawaran daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham kerana mahu menyarung jersi Kelantan.

Menurut pemain dari Lebanon itu, dia tertarik dengan skuad The Red Warriors (TRW) selepas mendapat maklumat daripada rakan senegaranya, Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Ghaddar banyak bercerita mengenai Kelantan dan selepas mendapat tawaran untuk beraksi bersama pasukan itu saya terus bersetuju.

“Saya mahu memberikan aksi terbaik dalam saingan Liga Super nanti untuk memastikan Kelantan melakar lebih banyak kemenangan selepas ini,” katanya.

Penjaring terbanyak Liga Lebanon itu diperkenalkan kepada wartawan oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung, Datuk Ismail Md Nor pada Khamis.

Dia mengikat kontrak selama satu tahun setengah bersama TRW.

Bako dijangka membuat penampilan sulung ketika perlawanan Liga Super menentang Pulau Pinang pada 24 Mei ini.

Pemain berusia 24 tahun itu begitu menonjol dalam Liga Perdana Lebanon, liga divisyen satu negaranya, tahun ini dengan menjaringkan 16 gol dalam 20 penampilan bersama Tripoli SC.

Kehadiran Bako tepat pada masanya selepas Ghaddar memilih untuk menyertai JDT pada jendela perpindahan pemain pertengahan musim ini.

Bako, Kelantan

Artikel Sebelum

Jadikan Jijoe 'Role Model'

Artikel Berikut

Klopp Temui Pengganti

Artikel Lain