suria

Larian Obor KL2017 Kini Di Melaka

Ng Chon Koon (tiga,kiri) dan maskot Sukan SEA 2017, Rimau memegang obor Sukan SEA 2017 yang diterima daripada wakil Johor iaitu, Ezahar Abu Sairin (dua,kanan) pada majlis penyerahan Larian Obor Sukan SEA 2017 di Melaka pada Khamis. Foto: Bernama

JASIN: Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sempena temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 kini berada di Melaka selepas berada di Johor, bagi meneruskan siri jelajahnya sebelum obor berkenaan diserahkan kepada wakil Negeri Sembilan Ahad ini.

Obor itu diserahkan oleh Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Tangkak, Ezahar Abu Sairin dan disambut Timbalan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Melaka, Datuk Ng Choon Koon yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban.

Larian yang diketuai YDP Majlis Perbandaran Jasin, Shadan Othman bermula di Laman Belia Sungai Rambai dan berakhir di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai yang menyaksikan penyertaan kira-kira 200 peserta dan melibatkan laluan sejauh 2.1 kilometer.

Acara pelepasan larian disempurnakan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Mohd Fauzi Ariffin pada pukul 11.20 pagi. Turut hadir, Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Johor, Abdul Ghani Abdul Rahman. 

Zamrud ketika berucap pada majlis itu berkata beliau berharap agar Malaysia dapat mengekalkan prestasi cemerlang sebagai tuan rumah pada temasya Sukan SEA kali ini sama seperti penganjuran Sukan Komanwel 1998.

Obor berkenaan akan dipamerkan kepada orang ramai di pusat membeli belah Aeon Bandaraya Melaka, Peringgit esok, sebelum dibawa menaiki Melaka River Cruise menyusuri Sungai Melaka.

Larian Obor KL2017 akan diteruskan pada Sabtu ini di Dataran Restoran Melayu Melaka, Jalan Tun Mutahir sebelum diteruskan pada Ahad ini di Dataran Keris, Alor Gajah.

Ia akan berakhir di Kuala Lumpur  pada 19 Ogos depan,  menandakan bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29.-Bernama

Sukan KL2017, Larian Obor

Artikel Sebelum

Ghaddar Akui Bertuah

Artikel Berikut

Artikel Lain