suria

Pertahanan Kiri Kedah Luah Perasaan

Pemain T-Team Mohamad Kamal Azizi (kiri) cuba menghalang sepakan pemain Kedah Mohd Fitri Omar dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 15 April 2017. - BERNAMA

FITRI Omar menyifatkan peluangnya beraksi pada perlawanan akhir Piala FA sebagai mimpi yang menjadi kenyataan selepas kejayaan meraih pingat juara Piala Sumbangsih pada awal musim ini bersama pasukan baharunya.

Pertahanan kiri itu berkata, selepas gagal meraih sebarang kejuaraan musim lalu, dia mengimpikan peluang beraksi di final bersama skuad Hijau Kuning.

Oleh itu, katanya, peluang kali ini akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan impian menjulang piala juga menjadi kenyataan.

“Inilah tahun yang paling bertuah bagi diri saya kerana berpeluang beraksi di final Piala FA dan keputusan untuk bersama pasukan juara Piala Malaysia musim lalu memang berbaloi.

“Tuah ayam di kakinya tetapi tuah manusia tidak ada siapa yang tahu kecuali takdir dan Allah sahaja menentukannya. 

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada bekas ketua jurulatih pasukan Kedah,Tan Cheng Hoe kerana menawarkan saya bermain untuk Kedah musim ini.

“Mohd Nidzam Adzha Yusof yang mengambil alih tugas Chneg Hoe, telah membuktikan kewibawaanya dengan memastikan Kedah beraksi pada perlawanan akhir Piala FA pada 20 Mei ini, dan beliau bijak mengubah corak permainan kami sehingga berjaya memerangkap Terengganu,” katanya kepada mStar Online.

Fitri memberitahu, dia dan rakan kini mahu memastikan Kedah berjaya membawa pulang Piala FA selepas mampu beraksi dengan baik di Kuala Terengganu pada aksi separuh akhir kedua.

“Saya juga akan berusaha memastikan impian beraksi di final berakhir dengan kejayaan menjulang piala kerana kini ia adalah misi utama kami.

“Rata rata barisan pemain Kedah masih muda tetapi pengalaman mereka menjadi aset berharga kepada pasukan Kedah untuk terus meraih kejayaan pada musim ini dan seterusnya.

“Kesungguhan dan kemahuan tinggi serta kesefahaman yang baik ketika berdepan lawan adalah faktor utama kejayaan kami pada musim ini.

"Malah Mohd Nidzam juga berjaya meneruskan legasi Cheng Hoe dan juga corak permainan yang diperkenalkan oleh bakal penolong jurulatih pasukan Harimau Malaya itu.

“Saya memang kagum dengan semangat dan kerjasama kesemua pemain Kedah tidak kira di atas padang ataupun di luar dan kami bukan sahaja beraksi dengan satu hati dan satu matlamat tetapi kami adalah satu keluarga besar bersama penyokong.

Katanya, kesemua pemain Kedah beraksi cemerlang bukan demi kejayaan peribadi tetapi matlamat utama ialah kejayaan pasukan Kedah yang memiliki penyokong yang begitu setia dan tidak pernah jemu memberi sorakan yang mampu menaikkan semangat ketika beraksi.

Kedah, Fitri Omar, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kenapa Pilih Vingada?

Artikel Lain