suria

Jonathan Berguru Di Korea Selatan

Jonathan (kiri) akan berlepas ke Korea Selatan minggu depan.

PETALING JAYA: Atlet menembak kebangsaan, Jonathan Wong Guanjie berharap latihan intensif skuad negara selama 45 hari bermula minggu depan di Korea Selatan dapat membantunya memperbaiki kelemahan mental menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Olimpian negara itu yang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik Rio 2016 mengakui beliau agak gemuruh ketika beraksi dalam acara final sama ada dalam pertandingan tempatan mahupun antarabangsa.

"Saya difahamkan skuad negara berpeluang menjalani latihan intensif bersama skuad kebangsaan Korea Selatan, jadi saya harap ia dapat memberi lebih keyakinan untuk melakar keputusan positif pada Sukan SEA nanti," katanya.

Jonathan berkata demikian ketika ditemui pada hari kelima Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-41 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang, di sini Selasa.

Terdahulu, beliau meraih pingat emas bersama gandingan Eddy Chew dan Choo Wen Yan dalam acara 10m Air Pistol Berpasukan Lelaki serta perak dalam acara Individu.

Mengulas mengenai prestasinya pada kejohanan tersebut, beliau berpuas hati dengan pencapaiannya namun mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang Sukan SEA nanti.

Untuk rekod, Jonathan turut meraih dua emas, masing-masing dalam acara 50m Pistol Individu dan Berpasukan pada hari kedua kejohanan, Sabtu lepas.

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan masih menunggu kata putus daripada Ketua jurulatih skuad negara, Park Sang-soon berhubung jumlah acara yang bakal disertainya pada Sukan SEA 2017. - BERNAMA

Jonathan Wong, menembak

Artikel Sebelum

Artikel Lain