suria

FAM Susun Semula Organisasi, 20 Staf Ditamatkan Tugas

PETALING JAYA: Seramai 20 staf Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah ditamatkan perkhidmatan serta-merta dalam badan induk bola sepak itu bermula Isnin, sebagai sebahagian usaha penyusunan semula organisasi persatuan tersebut di bawah pucuk pimpinan baharu yang diterajui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ismail.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook rasmi persatuan itu berkata, antara staf ditamatkan perkhidmatan melibatkan kakitangan pentadbiran dan teknikal.

Jelasnya, kesemua kakitangan yang terlibat telah dimaklumkan tentang perkara itu pada Isnin dengan disertakan notis dan tiga bulan gaji akan dibayar sepenuhnya sebelum 15hb April ini.

Tambahnya, langkah itu diambil hasil persetujuan oleh Presiden FAM sendiri, Tunku Ismail dan barisan exco untuk memastikan perjalanan organisasi persatuan tersebut mencapai hala tuju yang sepatutnya.

"Selain itu, penyusunan organisasi ini juga bertujuan untuk menjaga dan mengawal kewangan persatuan.

"Malah ia bertujuan tidak membazirkan duit persatuan seperti apa yang telah Tunku Presiden titahkan untuk berbelanja dengan berhemah disebabkan sebelum ini banyak sangat pembaziran.

Sebagai makluman kata beliau, semua unit dan jabatan di FAM akan diseragamkan serta digabungkan mengikut organisasi yang telah ditetapkan.

FAM

Artikel Lain