suria

PDRM Dapat Stadium

Gambar fail aksi perlawanan bola sepak Liga Perdana antara pasukan PDRM menentang Negeri Sembilan pada Februari lalu.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan pembinaan sebuah stadium di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini.

Perdana Menteri berkata pembinaan stadium pertama PDRM yang berkapasiti 35,000 penonton itu adalah untuk memantapkan lagi mutu pasukan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Stadium tersebut dibina melalui pertukaran tanah di tapak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Pulapol Kuala Lumpur.

"Semoga pasukan bola sepak PDRM akan lebih berjaya pada masa hadapan dengan pembinaan stadium tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 di Pulapol Kuala Lumpur.

Juga, Najib mengumumkan pembinaan bangunan baharu pusat Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM bernilai RM100 juta di Semenyih, Selangor.

"Pusat untuk UTK yang selama ini berada dalam bangunan yang agak lama di Bukit Aman akan mendapat bangunan lebih canggih di Semenyih," katanya.

Kedua-dua projek tersebut akan mula dibina dalam masa terdekat setelah penyerahan tender dilaksanakan.

Selain itu, Najib mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM3 juta untuk Tabung Amanah Warisan Polis.

Tabung yang dilancarkan hari ini bertujuan menjaga kebajikan anggota polis yang telah bersara atau berhenti serta anggota keluarga mereka.

Dalam pada itu, Najib turut melancarkan Buku Coffee Table Pasukan F 'Hanya Yang Berani', yang menceritakan kembali kehandalan Pasukan F Cawangan Khas melaksanakan operasi perisikan sulit membanteras gerakan bawah tanah Parti Komunis Malaya di negara ini.

Penerbitan buku itu adalah sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Pasukan F menumpaskan Parti Komunis Malaya yang selama ini tidak diketahui ramai.

PDRM

Artikel Berikut

Artikel Lain