suria

BAM Hantar Surat Bantahan Mutu Pengadilan Final Beregu Campuran Negara

Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying (kanan) tewas kepada gandingan China, Lu Kai/Huang Yaqiong dalam aksi final All England 2017. -fotoAFP
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persatuan Badminton England mengenai mutu pengadilan pada final beregu campuran Kejohanan Badminton Seluruh England, yang membabitkan pasangan negara, pada Ahad.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beberapa tindakan pengadil perlawanan akhir beregu campuran, yang menyaksikan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying berdepan gandingan Lu Kai/Huang Yaqiong dari China, sebagai tidak profesional.

"Saya sudah beritahu Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen untuk menilai situasi ini dan bersetuju untuk menghantar surat bantahan kepada BWF dan England BA.

"Saya berharap selepas ini, para pemain kita akan lebih matang menghadapi situasi sedemikian kerana ia boleh menjejaskan permainan mereka," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Dalam perlawanan akhir Seluruh England di Barclaycard Arena, Birmingham, beregu campuran negara yang diletakkan sebagai pilihan keenam, tewas kepada gandingan China itu dengan catatan 21-18, 19-21, 16-21.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Liu Ying mengakui rentak permainan mereka terjejas berikutan beberapa tindakan pengadil pertandingan itu.

Antaranya apabila Peng Soon diberi kad kuning kerana didakwa tidak mematuhi peraturan 20 saat untuk kembali ke gelanggang selepas rehat walaupun menjelaskan beliau tidak mendengar arahan berbuat demikian.

Selain itu, Liu Ying berkata pengadil perlawanan turut membatalkan satu daripada hantaran Peng Soon kerana dikatakan terkena jaring selain sikap pengadil tidak membenarkan bulu tangkis ditukar.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi keseluruhan skuad badminton negara kali ini, Mohamad Norza yang juga pengurus pasukan berkata pencapaian kali ini adalah baik khususnya daripada pemenang pingat Sukan Olimpik Rio.

Namun, beliau berkata masih banyak yang perlu diperbaiki terutama gandingan beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khe Wei yang sering gagal melepasi peringkat awal kerana tidak memiliki keberanian dan kekuatan mental.


Pada kejohanan kali ini, perseorangan negara yang juga pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei muncul juara Badminton All England selepas menundukkan Shi Yuqi dari China 21-10, 21-12.

Artikel Sebelum

Keputusan Piala AFC 2017

Artikel Lain