suria

Vincent Tan Tidak Rancang Jual Kepentingan Dalam Aset Bola Sepak

Tan Sri Vincent Tan
KUALA LUMPUR: Hartawan Tan Sri Vincent Tan berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk menjual kepentingannya dalam mana-mana aset bola sepaknya, termasuk kelab Liga Kejohanan Inggeris, Cardiff City Football Club (CCFC).


Ini juga termasuk Los Angeles FC (LAFC) dalam Major League Soccer, FC Sarajevo Bosnia dan Kortrijk Voetbalt CVBA (KVK) Belgium.

"Untuk rekod, saya tidak merancang menjual mana-mana kelab tetapi sekiranya ditawarkan harga yang sesuai, sudah pastinya saya akan menimbang," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Tan berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada laporan Bloomberg bertajuk "Embattled Millionaire Plans to Sell Football Teams" (Jutawan Dilanda Masalah Rancang Jual Pasukan Bola Sepak).

Menurutnya, beliau banyak kali dihubungi oleh pihak-pihak yang berminat membeli CCFC tetapi harga yang ditawarkan tidak sesuai.

"Saya tidak tergesa-gesa untuk menjual CCFC, tetapi sekiranya ditawarkan harga yang berpatutan oleh orang yang sesuai yang saya percaya boleh membawa kelab itu ke tahap yang lebih tinggi, sudah pastinya saya akan menimbang untuk menjual.

"Saya telah katakan sebelum ini sekiranya saya melepaskan CCFC, saya mahu meninggalkannya dalam jagaan yang baik," katanya.

Ketika ini CCFC berada di kedudukan ke-12 dalam kejohanan tersebut.

Mengenai LAFC, Tan berkata, oleh kerana penilaian terhadap kelab-kelab Major League Soccer sedang meningkat beliau melihat LAFC sebagai satu pelaburan jangka panjang.

"Bagaimanapun, bagi FC Sarajevo dan KVK, pelaburannya tidak besar berbanding dengan CCFC dan LAFC dan tidak ada alasan untuk menjualnya melainkan terdapat tawaran menarik yang dibuat," katanya.
Vincent Tan, Cardiff City

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain