suria

Liridon Krasniqi Dedah Rahsia Kebangkitan Kedah

PEMAIN import tengah Kedah, Liridon Krasniqi mendedahkan kebangkitan skuad hijau kuning ketika menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Super berpunca sikap pemain sendiri.

Dalam perlawanan di Stadium Darul Aman itu, Kedah ketinggalan 1-0 selepas lawan melakukan serangan balas, namun skuad itu berjaya bangkit dalam tempoh dua minit untuk menyamakan kedudukan.

Pemain kelahiran Kosovo itu memberitahu, semangat juang pemain Kedah yang tinggi untuk menang pada perlawanan itu antara punca utama pasukan berkenaan berjaya bangkit daripada ketinggalan.

Jelasnya, persefahaman di kalangan pemain yang telah beraksi bersama sejak tiga tahun lalu antara punca kebangkitan untuk menyamakan kedudukan menjadi lebih mudah.

"Saya cukup kenal kemampuan kesemua pemain, ketika ketinggalan satu gol, saya yakin kami mampu kembali menyamakan kedudukan dan terus memenangi perlawanan ini.

"Selepas tiga tahun bersama, saya lihat pemain Kedah telah pamerkan semangat juang yang cukup tinggi untuk memenangi setiap perlawanan, inilah kelebihannya.

"Sebagai bukti kami berjaya mengatasi Kelantan walaupun saya, Sandro Da Silva, Syazwan Zainon dan Khairul Helmi Johari tidak beraksi. Kami mampu pulang dengan tiga mata penuh yang diidamkan," katanya.

Liridon berkata, kejayaan dirinya mencatat nama sebagai penjaring juga sangat bermakna pada perlawanan itu yang disaksikan ibu bapanya.

"Ini kali pertama ibu bapa saya datang ke Malaysia kerana sebelum ini hanya adik yang ke sini. Sebab itu saya sangat teruja apabila dapat menjaringkan gol di hadapan mereka.

"Bagi saya, mereka telah mendapat hadiah hasil satu perjalanan yang jauh untuk melihat saya beraksi untuk Kedah," ujarnya.

Liridon Krasniqi, Kedah, Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain