suria

Presiden FAS: Subahan Kamal Dipilih Sebulat Suara

SHAH ALAM: Kekosongan kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang belum ada pengganti sejak Disember lalu akhirnya diisi Datuk Seri Subahan Kamal.

Pelantikan Subahan dibuat melalui keputusan sebulat suara 95 ahli gabungan FAS dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk bola sepak negeri itu di sini Khamis.

Sebelum ini, Subahan dilaporkan akan menang tanpa bertanding selepas menjadi nama tunggal yang dicalonkan untuk mengisi jawatan Presiden FAS setelah tempoh pencalonan berakhir pada Khamis lalu.

Bagi jawatan Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp dipilih bagi membantu Subahan menerajui jawatankuasa eksekutif itu bagi sesi 2017-2021.

Jawatan naib presiden pula kekal dipertahankan K Palanisamy yang akan dibantu dua muka baharu iaitu Datuk Lim Thean Shiang dan Nizam Sani serta bekas Exco FAS, Abdul Rauf Ahmad.

Untuk 13 jawatan Exco FAS pula, lapan muka lama mengekalkan jawatan tersebut, selain menampilkan lima muka baru.

Lapan exco yang kekal itu ialah Datuk S Sivasundaram, Datuk Razak Abd Karim, K Santhanaraju, R Sekar Chandra, Mustaza Ahmad, Omar Ali, Datuk Ariffin Abd Hamid dan Datuk PS Sugumaran.

Lima exco baharu dilantik pula terdiri daripada Datuk Mohd Shahrizal Sahri, Simon Lim Swee Teck, Md Yunus @ Iskandar Md Noor, Nazzab Hidzan dan K Sanbagamaran.

Sementara itu, Subahan yang sebelum ini memegang jawatan naib presiden FAS menarik nafas lega apabila pemilihan itu berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, barisan kepimpinan baharu akan berusaha keras untuk memenuhi mandat yang diberikan 95 ahli gabungan FAS dengan meneruskan kesinambungan kemenangan pasukan.

"Saya suka terus-terang, untuk buat perubahan dalam pasukan ini ia akan memakan masa. Tiada magik, tiada jalan pintas, ia proses yang panjang. Saya lebih suka kepada proses kesinambungan kemenangan.

"Jadi diharap dengan barisan kepimpinan baharu ini kita dapat mencari dana untuk FAS dan meletakkan pasukan di landasan yang betul," katanya.






Subahan Kamal, Presiden FAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain