suria

Presiden FAM: KJ Bertanding Atau Tidak?

PETALING JAYA: Teka-teki sama ada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan depan masih belum terjawab susulan percanggahan laporan beberapa portal media tempatan yang melaporkan tentang pendirian beliau.

Portal BH Online pada Isnin melaporkan, Khairy mengesahkan beliau tidak akan bertanding merebut jawatan Presiden FAM bulan depan.

Khairy bercakap pada sidang media selepas majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

Namun berdasarkan laporan portal Utusan Online, Khairy tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk menarik diri sekiranya pemilik Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanding kerusi badan induk bola sepak negara itu.

Jelas laporan itu, beliau sebelum ini telah pun berjumpa dengan ahli-ahli gabungan FAM yang hendak beliau bertanding namun pendirian tersebut masih tidak berubah.

Khairy bagaimanapun memberitahu, beliau masih belum menetapkan sebarang keputusan kerana masih belum berjumpa Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

“Saya tidak tahu lagi, sebab tidak jumpa lagi Hamidin, tetapi akan jumpa juga hari ini (Isnin),” kata beliau pada majlis yang sama.

Khairy berkata sedemikian ketika spekulasi hangat mengatakan beliau akan bertanding merebut kerusi panas badan induk bola sepak negara.

Setakat ini, hanya bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyerahkan borang menerima pencalonan untuk bertanding sebagai Presiden FAM.

Selain Khairy dan Annuar, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat dinamakan sebagai calon untuk merebut kedudukan tertinggi FAM itu.

Turut difahamkan, Khairy dijangka bertemu Hamidin Mohd Amin pada Isnin untuk menjelaskan pendirian beliau berhubung perebutan jawatan itu memandangkan tarikh penghantaran nama calon ditutup pada hari yang sama (13 Februari). 

Khairy Jamaluddin, FAM

Artikel Sebelum

Tengoklah Dulu - KJ

Artikel Berikut

Artikel Lain