suria

Presiden FAM: Saya Sedia Beri Laluan Kepada TMJ - KJ

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin sedia memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim jika beliau bersetuju untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Ya, pasti (tarik diri)," jawab Menteri Belia dan Sukan itu  ringkas ketika ditanya apakah beliau sedia berundur jika ramai pihak memberi sokongan kepada TMJ untuk mengisi jawatan itu.

Malahan, beliau berpendapat, dua calon lain iaitu Tan Sri Aseh Che Mat dan Tan Sri Annuar Musa juga akan membuat keputusan sama.

"Ya, pasti jika semua pihak mahu TMJ, saya rasa Tan Sri Annuar pun akan tarik diri, Tan Sri Aseh automatiklah, saya pun," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Khamis.

Khairy berkata, beliau bagaimanapun belum membuat sebarang keputusan rasmi sama ada mahu bertanding untuk jawatan itu atau sebaliknya.

"Saya belum buat keputusan lagi samada nak bertanding atau tak, saya difahamkan ada dua mingggu lagi nak sahkan (bertanding).

"Saya akan bincang dengan semua pihak berkepentingan terutama persatuan-persatuan bola sepak negeri untuk dapatkan gambaran lebih jelas apakah tujuan nama saya dicalonkan...terlalu awal untuk buat keputusan," katanya.

Menurut Khairy, setiap individu dalam komuniti bola sepak negara mempunyai calon kegemaran mereka sendiri, termasuklah dirinya.

Malah, beliau turut mengakui setiap calon yang disenaraikan mempunyai kekuatan tersendiri.

Bagaimanapun beliau berkata, apa yang paling penting sejauh mana calon tersebut mampu mendapat kerjasama dan mempunyai pengaruh dalam bola sepak negara, selain tidak mewujudkan perpecahan dalam FAM.

"Saya rasa ramai dalam komuniti bola sepak termasuk saya ada calon favourite, semua nak lihat TMJ jadi presiden tapi beliau sendiri tak nak jadi presiden, ini kena bincang juga.

"Akhirnya siapa jadi presiden kena dapat kerjasama semua pihak, berpengaruh untuk bawa semua pihak berkepentingan bersama dan tak wujudkan perpecahan dalam FAM," katanya.

Dari segi pelepasan daripada Kabinet, Khairy berkata perkara itu boleh dirunding.

"Kabinet boleh ketepikan keputusan awal, itu tak jadi masalah sekiranya saya nak bertanding.

"Soal pokoknya saya akan bertanding atau tidak, tak jawab lagi. Saya pun tak tahu," katanya.

Ditanya sama ada beliau berminat dengan jawatan berkenaan dan mempunyai pengaruh dalam arena bola sepak negara, beliau berkata: "Sebagai menteri adalah sedikit pengaruh tapi perkara pertama dari segi masa, selain kena tanya rakan-rakan yang calonkan saya dulu apa harapan mereka, kenapa calonkan saya, tak boleh tolak tepi calon lain."

Khairy berkata selain menggalas tugas sebagai menteri, beliau juga bertanggungjawab dalam Transformasi Nasional (TN50) dan Sukan Sea ke-29 di mana Malaysia menjadi tuan rumah.

KJ, TMJ, FAM

Artikel Lain