suria

Coutinho Meterai Kontrak Lima Tahun Bersama Liverpool

LIVERPOOL mengesahkan pemain bintangnya, Philippe Coutinho menandatangani kontrak baharu selama lima tahun di Anfield.

Kelab itu pada pagi Rabu mengumumkan Coutinho bersetuju mengikat kontrak 'jangka panjang' di mana dia dilaporkan bakal menerima gaji sebanyak 150,000 pound seminggu.

Dalam satu kenyataan, Liverpool mengesahkan kontrak baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 Julai depan dan berakhir pada musim panas 2022.

Namun, menurut laporan media, tiada klausa pelepasan dalam kontrak tersebut walaupun Coutinho turut dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan Barcelona.

"Saya menandatangani kontrak baharu di sini untuk tempoh beberapa tahun akan datang. Ia satu penghormatan kepada saya.

"Ia amat menggembirakan saya kerana kehadiran saya di sini diterima secara terbuka setiap orang di dalam kelab ini. Mereka menyokong saya bermula hari pertama di sini," kata Coutinho.

Pengurusnya, Jurgen Klopp pastinya antara individu yang paling gembira mengenai berita tersebut.

"Ia berita yang baik dan saya tahu sesiapa yang menyokong Liverpool pastinya gembira mendengar berita ini.

"Saya mengenali Coutinho sebelum saya datang ke Liverpool dan saya menyedari bakatnya. Dia merupakan pemain berkelas dunia," kata Klopp.

Coutinho menyertai The Reds pada Januari 2013 dari Inter Milan.

Sejak dari itu dia diangkat sebagai tonggak utama pasukan dan berjaya menjaringkan lapan gol sepanjang aksi liga musim lalu.

Philippe Coutinho, Liverpool

Artikel Sebelum

Artikel Lain