suria

Rujuk Pakar Sebelum Makan Ubat - KJ

KUALA LUMPUR: Rujuk kepada pakar perubatan khususnya  pegawai Institut Sukan Negara (ISN) sebelum memakan sebarang ubat bagi mengelakkan kesalahan doping, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Ketika mengingatkan atlet yang akan mewakili negara ke Sukan SEA di sini Ogos ini, Khairy berkata adalah penting untuk atlet berhati-hati atas semua ubatan kerana mereka bertanggungjawab jika didapati menggunakan bahan terlarang.

Beliau menegaskan bukan sahaja atlet, malah seluruh rombongan juga bertanggungjawab memastikan atlet bebas daripada kesalahan doping.

"Apa yang anda (atlet) makan, itu adalah tanggungjawab anda...kalau tak tahu, tanya (pegawai) ISN, pakar atau pun jurulatih," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Kempen Kesedaran Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dihadiri lebih daripada 200 atlet, jurulatih dan pegawai sukan di Wisma OCM di sini pada Sabtu.

Khairy berkata usaha memerangi kesalahan doping tidak harus hanya ditumpukan kepada sukan berprestasi tinggi tetapi juga atlet yang terbabit dalam sukan rekreasi dan sukan massa.

Menurutnya doping kini bukan hanya dianggap isu sukan tetapi juga menyentuh kesihatan dan masa depan populasi negara.

Khairy menegaskan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) ditubuhkan bagi memastikan Kod WADA (Agensi Anti Doping Dunia) dilaksanakan dalam semua sukan di setiap negeri.

Beliau juga berkata peraturan Adamas yang disemak semula adalah selaras dengan kod disemak semula yang telah diluluskan WADA. - BERNAMA

Khairy Jamaluddin, WADA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Serena 'Lupakan' Pertunangan

Artikel Lain