suria

Sukan SEA 2017: Perhimpunan Fasa Kedua Semarakkan Semangat Atlet

Marina Chin beramah mesra dengan para atlet yang terlibat dalam kem Kita Juara pada Selasa. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR:  Majlis Perhimpunan Atlet Kita Juara Fasa Kedua merupakan acara terpenting buat semua pihak terlibat khususnya  atlet dalam usaha memastikan kejayaan negara pada temasya Sukan SEA 2017 dapat dicapai.

Ketua Kontinjen Sukan SEA 2017 Datuk Marina Chin berkata melalui program seumpama itu, hubungan antara para atlet dengan jurulatih dan juga pihak pengurusan akan bertambah erat selain dapat memupuk semangat juang tinggi dalam diri mereka.

"Matlamat utama perhimpunan ini adalah supaya atlet lebih mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang dalam perhimpunan ini akan dapat menyemarakkan lagi semangat mereka untuk mencipta kejayaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pada majlis tersebut di sini, Selasa.

Dalam pada itu, katanya program itu juga merupakan satu platform bagi menguji kesesuaian tempat yang bakal dijadikan penginapan atlet pada temasya tersebut supaya tiada sebarang masalah akan timbul di kemudian hari.

"Kita ingin cuba melihat adakah akan timbul masalah jika kita berpusat di sini pada tahun depan, adakah tempat ini sesuai ataupun tidak supaya pada temasya itu nanti tiada masalah akan timbul, yang boleh mengganggu persembahan atlet," katanya.

Berkongsi pandangan yang sama ialah Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo yang menyifatkan perhimpunan ini sebagai satu acara yang mustahak selain akan memberikan impak positif kepada semua pihak yang terlibat.

"Ini adalah salah satu usaha kita dalam memastikan kejayaan dapat dicapai pada temasya Sukan SEA tahun depan.

"Kita tidak mahu membebankan dan membuat mereka berasa bimbang tentang hal-hal berkaitan temasya itu. Kita cuma hanya mahukan mereka (atlet) memberikan tumpuan mereka terhadap latihan dan pertandingan sahaja," katanya.

Kem tiga hari itu yang menghimpunkan seramai 517 atlet, 84 jurulatih dan 49 pengurus pasukan bertujuan memastikan mereka fokus terhadap misi memburu kejuaraan keseluruhan pada Sukan SEA edisi ke-29 tahun hadapan. -Bernama

Marina Chin, Sukan SEA

Artikel Lain