suria

Skuad Perahu Layar Dapat Suntikan Hadapi Sukan SEA 2017

ALOR SETAR: Skuad perahu layar negara boleh menarik nafas lega berikutan keputusan positif Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) untuk membeli peralatan baharu bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Jurulatih Double Handed Program Kita Juara Sukan Pelayaran, Muhammad Sahir A Rahim berkata keputusan MYA pada akhir November lepas itu membuatkan pihaknya semakin bersemangat menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Pihak persatuan telah memberi kelulusan pembelian bot dan layar baharu yang akan digunakan atlet ketika Sukan SEA 2017 yang berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos.

"Kami harap pembelian bot dan layar itu dapat dilakukan sebelum tamat fasa terakhir program ini memandangkan sekarang kita masih menggunakan peralatan daripada Sukan SEA lepas," katanya.

Beliau berkata walaupun peralatan lama masih boleh digunakan dan tidak menjejaskan latihan, penggunaan peralatan baharu mampu meningkatkan prestasi atlet.

"Mereka masih perlu bersaing di kejohanan bertaraf dunia bagi memastikan nama mereka tersenarai dalam skuad negara. Justeru, peralatan terkini dan baharu mampu memberi impak kepada prestasi mereka," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sahir menjelaskan prestasi atlet perahu layar negara berada di landasan terbaik selepas menyertai dua kejohanan berprestij sejak awal Disember lepas.

"Selepas Kejohanan Kebangsaan dan satu kejohanan di Melbourne, Australia, kami mendapat beberapa petunjuk mengenai senarai nama yang akan melengkapkan skuad negara.

"Namun ia masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana setiap atlet masih dalam saringan dan penilaian jurulatih," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, sebahagian atlet negara sedang bersaing pada Kejohanan Belia di Auckland, New Zealand sehingga 14 Disember.

"Kami mengharapkan keputusan yang positif pada kejohanan ini, dan beberapa kejohanan akan datang memandangkan kita mampu bersaing di pentas antarabangsa," katanya. - BERNAMA

perahu layar, Sukan SEA 2017

Artikel Lain