suria

Kem Negara Bermula Suram Di Siri Super Dunia

Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan cabaran memburu gelaran Siri Super Dunia dengan langkah kiri apabila tewas dalam aksi pertama Kumpulan B di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai pada Rabu.

Chong Wei, yang merangkul gelaran Terbuka Jepun bulan lepas, gagal menampilkan aksi yang baik apabila tewas kepada pemain Korea Selatan, Son Wan Ho dengan 10-21, 16-21 dalam masa 38 minit.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org, Chong Wei, 34, akan bertemu pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long untuk perlawanan keduanya dalam kumpulan itu pada Khamis.

Selain Chong Wei, pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut tumpas kepada gandingan Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Christinna Pedersen 7-21, 17-21 pada perlawanan pertama mereka dalam Kumpulan B.

Bagaimanapun, Chong Wei serta Vivian-Khe Wei masih berpeluang mara ke separuh akhir sekiranya mampu mencatat kemenangan dalam baki dua perlawanan mereka dalam kumpulan masing-masing.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mendapat kemenangan percuma pada perlawanan pertama Kumpulan B setelah pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen menarik diri daripada kejohanan itu.

V Shem-Wee Kiong akan bertemu pasangan China, Li Junhui-Liu Yuchen untuk perlawanan kedua mereka pada Khamis.

Kejohanan Siri Super Dunia di Dubai yang bermula Rabu hingga 18 Disember itu disertai lapan pemain terbaik dalam kutipan mata sirkit Siri Super bagi setiap kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Ia menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$1 juta (kira-kira RM4.48 juta). - BERNAMA

Lee Chong Wei, Siri Super Dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain