suria

Liga Malaysia Bermula 20 Januari

PETALING JAYA: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP) mengekalkan format musim ini untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata Liga-M dan Piala Malaysia akan diadakan serentak iaitu bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim menentang Kedah pada 20 Jan 2017.

Perlawanan Liga Perdana juga bermula pada tarikh yang sama manakala Liga Super akan memulakan saingan pada 21 Jan dan Liga-M akan berehat selama tiga minggu pada Ogos bagi memberi laluan kepada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Seperti tahun lepas, Liga-M turut tidak beraksi pada bulan Ramadhan. Kita telah menerangkan kesemua pilihan yang ada untuk melancarkan perlawanan liga musim depan. Semua pasukan memilih untuk terus kekal format seperti musim ini.

Pasukan juga mahu memberi peluang kepada FMLLP memastikan format ini berjaya. Kita akan pastikan penjadualan perlawanan berjalan lancar. Disebabkan rehat tiga minggu pada bulan Ogos, jadual perlawanan pada bulan Julai akan padat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas memberikan taklimat khas Liga Malaysia 2017 kepada Setiausaha Agung, Setiausaha Kehormat, Eksekutif pasukan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya.

Sementara itu Kevin turut mengulas mengenai pasukan PKNS FC yang kini beralih naungan kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Beliau berkata FMLLP akan merujuk kepada FAM mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan tentang kedudukan PKNS FC beraksi dalam Liga Super musim depan.

"Bagi kami pertukaran naungan ada dalam statut FAM. Hanya FAM boleh mengesahkan keahlian pasukan dalam sesebuah naungan. Saya difahamkan PKNS FC telah menghantar surat kepada FMLLP tetapi saya belum membaca lagi, FAM perlu berikan pengesahan dan baru kita tentukan kedudukan PKNS FC.

"Isu pertukaran gabungan bukan isu remeh-temeh, dalam struktur bola sepak daripada akar umbi sehingga ke FIFA, isu gabungan memang wujud. Bola sepak ini berstruktur kerana ia ditadbir menerusi badan gabungan," katanya.
Liga Malaysia

Artikel Berikut

PKNS FC Bernaung Di Bawah PBMS

Artikel Lain