suria

Cabaran Malaysia Di Terbuka Macau Berakhir

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Macau berakhir selepas kesemua tiga beregu negara tewas di separuh akhir yang berlangsung di Tap Seac Multisport Pavilion, Sabtu.

Pasangan Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei, yang merupakan pilihan kedua, mengalami kekalahan mengejutkan 21-13, 19-21, 10-21 kepada gandingan kurang ternama Indonesia, Anggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut dalam acara beregu wanita, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Satu lagi pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pula ditunjuk jalan keluar selepas tumpas 15-21, 9-21 kepada pilihan utama, Chen Qingchen-Jia Yifan dari China.

Pasangan beregu campuran kedua Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang merupakan pilihan ketiga, juga menerima tamparan hebat apabila kalah 15-21, 28-30 kepada pilihan ketujuh, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong. 

Kempen Malaysia dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan perseorangan wanita, berakhir Jumaat dan semalam, selepas pemain negara tumpas kepada lawan masing-masing. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain