Wei Feng Mara Suku Akhir Terbuka Hong Kong - Sukan | mStar

Wei Feng Mara Suku Akhir Terbuka Hong Kong

KUALA LUMPUR: Pemain profesional, Chong Wei Feng mara ke suku akhir kejohanan badminton Siri Super Terbuka Hong Kong selepas menundukkan H S Prannoy dari India di pusingan kedua pada Khamis.

Wei Feng, yang menduduki ranking ke-53 dunia, tewas set pertama 15-21 sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-11, 21-15 untuk menyingkirkan pemain ranking ke-25 dunia itu.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfsuperseries.com, kemenangan tersebut membolehkan Wei Feng menyamakan rekod pertemuannya dengan pemain India itu 1-1 selepas tewas di Terbuka Denmark, bulan lalu.

Di suku akhir esok, Wei Feng yang juga juara Sukan SEA 2015 di Singapura akan menentang seorang lagi pemain India, Sameer Verma yang mara selepas menundukkan Kazumasa Sakai dari Jepun 19-21, 21-15, 21-11.

Bagaimanapun, beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei gagal meneruskan kemaraan apabila kalah kepada pilihan ketiga, Kamilla Rytter Juhl-Christina Pedersen dari Denmark 10-21, 21-11, 21-9.

Artikel Sebelum

Ayuh! Undi Faiz Subri - KJ

Artikel Berikut

Artikel Lain