suria

Lepas Jawatan Presiden Kafa, Tumpu Aktiviti Kebajikan - Annuar Musa

Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa menjelaskan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) antara lain bagi memberi fokus kepada aktiviti kebajikan.

Beliau berkata tumpuan khusus akan diberi kepada tiga pertubuhan -- Yayasan Kemiskinan Kelantan, Yayasan Persahabatan Malaysia dan Yayasan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Saya juga mahu mengembangkan lagi pusat pembelajaran al-Quran dimiliki keluarga yang kini mempunyai kira-kira 300 murid kepada sebuah pusat pembelajaran tahfiz.

"Pada masa sama, saya juga perlu memberi tumpuan kepada pembinaan Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab di kawasan saya (Parlimen Ketereh)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Annuar yang juga Pengerusi Mara pada Selasa, memuat naik salinan surat rasmi peletakan jawatannya sebagai Presiden Kafa berkuat kuasa serta-merta.

Annuar berkata keputusan itu juga bagi memberi peluang kepada individu lebih layak dan mampu mengangkat kecemerlangan bola sepak Kelantan sepertimana yang berjaya dilakukan negeri-negeri lain.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan kongres persatuan itu awal tahun depan, Annuar tidak menolak kemungkinan itu sekiranya beliau dicalonkan.

"Saya tetap aktivis bola sepak...sekiranya saya dicalonkan, kemungkinan saya akan menawarkan diri.

"Menguruskan bola sepak kebangsaan berbeza skopnya dengan pasukan negeri, cabaran lebih besar dan sangat berbeza, bukan soal mencari dana semata-mata tapi lebih daripada itu," katanya. - BERNAMA


Annuar Musa, Kafa, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain