suria

De Boer Dipecat Selepas 85 Hari Kemudi Inter Milan

Frank de Boer.

INTER Milan memecat pengurus Frank de Boer hanya 85 hari selepas dia mengemudi kelab Itali itu.

Inter menduduki tangga ke-12 dalam liga Serie A selepas tewas 0-1 kepada Sampdoria, Ahad lalu.

Ia juga merupakan kekalahan keempat mereka dalam lima aksi liga.

Bekas pemain pertahanan Belanda berusia 46 tahun itu turut dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris seperti Everton dan Southampton pada musim panas lalu.

Inter akan berkunjung ke Southampton pada aksi Liga Europa, Khamis.

Jurulatih skuad mudanya, Stefano Vecchi akan mengemudi Inter untuk pertembungan penting itu nanti.

De Boer menerusi laman Twitternya berkata "untuk meneruskan projek ini memerlukan lebih banyak masa".

Pada masa sama, dia turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada penyokong Inter di atas sokongan mereka terhadapnya.

Sebelum menyertai Inter, De Boer mengemudi Ajax menjulang trofi Liga Belanda tetapi tewas kepada PSV Eindhoven pada perlawanan akhir musim lalu.

Beliau menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Inter pada Ogos lalu, menggantikan bekas Pengurus Manchester City, Roberto Mancini.

Inter memenangi kejuaraan treble pada aksi Serie A, Coppa Italia dan Liga Juara-Juara di bawah Jose Mourinho, enam tahun lalu.

Mereka kini sedang mencari pengurus kesembilan sejak Mourinho meninggalkan Inter pada 2010.

Bekas Pengurus Newcastle Rafael Benitez, Pengurus Leicester Claudio Ranieri dan Pengurus Watford Walter Mazzarri pernah berkhidmat di San Siro dalam tempoh enam tahun lalu.





Frank de Boer, Inter Milan

Artikel Sebelum

Terserah Kepada FAS - Gunalan

Artikel Berikut

Artikel Lain