suria

Malaysia Atasi Brunei 1-0 Untuk Kemenangan Kedua

Pemain negara Mohd Syazwan Zaipol Bahari (kanan) cuba dihalang pemain Brunei, Mohd Khairil Shahme Suhaimi pada perlawanan persahabatan Malaysia U22 menentang Brunei U22 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu. Foto Bernama

SEREMBAN: Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara mencapai kemenangan kedua ke atas Brunei selepas mengalahkan pasukan pelawat 1-0 pada aksi kedua perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dekat sini, Sabtu.

Malaysia menghasilkan gol tunggal itu seawal minit ke-10 menerusi sepakan kencang Muhd Syafiq Ahmad dalam kotak penalti selepas menerima hantaran tengah daripada Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri.

Bagaimanapun, lima minit kemudian, gawang pasukan negara nyaris dibolosi oleh Brunei apabila percubaan, hasil gerakan satu dua Muhd Shahrazen Said dan Muhd Maududi Hilmi Kasmi, diselamatkan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohd.

Skuad B-22 negara, yang dikenali sebagai Projek Sukan SEA 2017 dan dikendalikan oleh Frank Bernhardt, gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan walaupun menampilkan corak permainan pantas dan agresif.

Pada perlawanan pertama Khamis lepas, Malaysia menang 2-0, hasil jaringan Muhd Syafiq Ahmad pada minit ke-73 dan 83.

Sementara itu, Bernhardt, dalam sidang media selepas perlawanan, berkata beliau berpuas hati dengan permainan yang ditonjolkan anak buahnya walaupun mendapat cabaran hebat daripada Brunei.

"Sudah tentu, kami menghadapi kesukaran pada awal perlawanan berikutan ketiadaan empat tonggak utama kerana kecederaan. Pada babak kedua, kami hilang tumpuan dan gagal menyudahkan dua atau tiga peluang.

"Bagaimanapun, perlawanan pertama lebih baik," kata jurulatih dari Jerman itu.

Bagaimanapun, katanya, pasukan itu perlu bersedia sepenuhnya sebelum menghadapi pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 23 Tahun pada Julai dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos, tahun depan. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain