suria

Liga Super: Misi Wajib Menang Harimau Kumbang

Nenad Bacina

GEORGE TOWN: Pasukan Pulau Pinang wajib memenangiperlawanan menentang PDRM FC pada Sabtu sekiranya mereka mahu kekal dalam Liga Super musim hadapan.

Ketua Jurulatih pasukan Pulau Pinang Nenad Bacina ketika ditemui bersetuju bahawa perlawanan esok adalah perlawanan yang genting bagi pasukan itu dan skuad Harimau Kumbang mesti berjaya mengutip mata.

Dalam perlawanan genting ini, pasukan Pulau Pinang tidak akan menurunkan Fitri Omar dan Failee Ghazli kerana kecederaan dan ketua pasukan Mathias Cordoba juga kemungkinan tidak diturunkan.

"Cordoba masih belum sembuh sepenuhnya dan sama ada beliau akan diturunkan atau tidak, bergantung kepada kondisinya esok,” kata Bacina ketika ditemui ketika sesi latihan di Universiti Sains Malaysia petang  Jumaat.

Ketiadaan ketiga-tiga pemain tonggak pasukan itu sedikit sebanyak menggugat kekuatan pasukan Pulau Pinang, namun Bacina berkata pasukannya akan melakukan yang terbaik.

"Ia pasti bukan permainan mudah, akan tetapi kami akan berjuang hingga ke wisel penamat,” katanya. Bacina berkata perlawanan menentang PDRM bukanlah mudah kerana pasukan itu mempunyai kualiti dan pemain yang kuat.

"Dalam perlawanan lepas, mereka berjaya menumbangkan Kelantan yang merupakan antara pasukan terkuat, dan kita tidak boleh mengambil ringan kedudukan mereka dalam liga kerana mereka juga sedang berjuang,” katanya.

Bagainamapun, Bacina berkata anak didiknya akan berjuang hingga saat yang terakhir dan berjanji akan memantapkan permainan dengan mengambil iktibar dari kekalahan yang lepas.

Dengan berbaki tiga perlawanan sebelum berakhirnya kempen Liga Super, Pulau Pinang kini berada di tangga kedua tercorot dengan 18 mata dan akan menentang PDRM di Stadium Bandaraya pada Sabtu malam. - Bernama

Pulau Pinang, PDRM, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Lain