suria

Korea Selatan, Syria Seri 0-0 Pusingan Kelayakan Piala Dunia

Pemain Syria, Yousef Kalfa (kiri) cuba menghalang ketua pasukan Korea Selatan, Ki Sung Yueng pada perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia Rusia 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa. -fotoBERNAMA

SEREMBAN: Hajat Korea Selatan mengutip mata penuh tidak kesampaian apabila terikat 0-0 dengan Syria dalam perlawanan Kumpulan A pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini.

Malah Korea Selatan menerima kejutan awal apabila Syria mendapat peluang pertama menggegar jaring menerusi Mahmoud Almawas pada minit kelapan tetapi berjaya ditepis penjaga gol, Kim Seung Gyu.

Korea beroleh peluang mereka mendapatkan gol menerusi sepakan percuma Koo Ja Cheol pada minit ke-30 tetapi percubaannya gagal memecah kebuntuan jaringan.

Skuad bimbingan Uli Stielike dari Jerman itu cuba bangkit pada babak kedua dengan mempamerkan aksi bertenaga mengasak kubu lawan, namun tetap dihampakan dengan penyudah yang kurang berkesan.

Sebaliknya, kelincahan Mahmoud Almawas nyata menjadi duri kepada Korea Selatan sehinggakan Han Kok Young terpaksa mengasari pemain itu bagi menghalang kemaraannya pada minit ke-71, sekali gus menyebabkannya dilayangkan kad kuning oleh pengadil Christopher Beath.

Kedudukan tetap tidak berubah sehingga wisel penamat, sekali gus memberi mata pertama buat Syria yang menjadi tuan rumah perlawanan ini selepas ia tidak dapat dilangsungkan di negara mereka akibat pergolakan dalaman.

Syria sebelum ini tewas 0-1 kepada Uzbekistan manakala Korea Selatan menang 3-2 ke atas China pada perlawanan pertama mereka dalam Kumpulan A.

Kelayakan Piala Dunia

Artikel Sebelum

Garuda Baham Harimau Malaysia

Artikel Berikut

Ozil Mahu Ikut Jejak Henry Ke MLS

Artikel Lain