suria

Pengadil Khairulazuan Direhatkan Tiga Bulan

Perlawanan Suku Akhir Pertama Piala Malaysia antara T-Team dan Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Ahad malam lalu. Foto Bernama

KLANG: Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk merehatkan pengadil Khairulazuan Kidam selama tiga bulan kerana membuat keputusan lemah pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara T-Team dan Felda United, Ahad lepas.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk S. Sivasundram berkata, Penolong Pengadil 1, Mohd Yusof Mohamad turut direhatkan selama dua minggu dan kedua-dua mereka direhatkan berkuat kuasa dari tarikh perlawanan.

"Jawatankuasa ini memilih berbuat demikian selepas membuat penelitian terhadap rakaman perlawanan yang berlangsung pada Ahad lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

"Laporan yang dibuat oleh penilai pengadil mendapati pengadil (Khairulazuan) telah membuat satu keputusan yang lemah pada minit ke-45 dan ke-52," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankluasa berkenaan di sini, Khamis.

Mesyuarat itu diadakan berikutan surat bantahan yang diterima daripada Pengurus Pasukan T-Team, Datuk Mohamad Kamil Othman.

Sivasundram berkata, jawatankuasa turut mendapati pengadil terbabit gagal membaca pergerakan perlawanan dengan baik dan tidak berada pada posisi yang betul menyebabkan beliau tidak dapat membuat keputusan yang tepat.

Katanya, dalam tempoh direhatkan, Khairulazuan dan Mohd Yusof akan diberikan latihan semula dan kaunseling bagi meningkatkan prestasi mereka.

"Jawatankuasa ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf kualiti pengadil-pengadil," katanya.

Pada minit ke-45 perlawanan berkenaan, penjaga gol Felda United, Mohd Farizal Harun didakwa menampan bola di luar kotak penalti dengan menggunakan tangan sementara gol di minit ke-52 oleh Francis Forkey Doe didakwa terkena tangan terlebih dahulu. - Bernama

Khairulazuan Kidam, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain