suria

Fatehah Perlu Muhasabah Diri Setelah Gagal Di Rio

Fatehah Mustapa. - foto AZHAR MAHFOF/The Star

RIO DE JANEIRO: Fatehah Mustapa yang berpangkalan di Melbourne perlu bermuhasabah diri setelah gagal untuk mara dalam acara sprint wanita di Olimpik Rio di sini pada Ahad.

Baharu sahaja selesai menjalankan latihan selama lima minggu di Agueda, Portugal, beliau mencatat masa 11.207 saat dalam pusingan kelayakan awal untuk menduduki tempat ke-21 dalam kalangan 27 pelumba.

Pelumba British, Rebecca James mencipta rekod olimpik baharu dengan catatan 10.1721s dalam pusingan awal, memadam rekod yang dicipta rakan senegara Victoria Pendleton 10.724s dalam Olimpik London 2012.

Ia merupakan kali kedua dalam tahun ini, Fatehah gagal mara melepasi pusingan awal setelah menduduki tempat ke-25 dengan catatan 11.334s di Kejohanan Trek Berbasikal Dunia di London pada Mac lalu.

"Saya melakukaan yang terbaik dan jurulatih saya John Beasley berpuas hati dengan saya," kata pelumba kelahiran Terengganu ini yang pakar dalam acara kierin.

Namun Beasley dalam sidang media sebelum datang ke Rio pada Sabtu lepas berkata Fatehah boleh melakukan masa sekitar 11 saat bagi mengatasi masa terbaik peribadinya.

Masa terbaiknya 11.108s juga merupakan rekod kebangsaan yang diciptanya pada kejohanan dunia di Paris tahun lalu.

Beliau menamatkan perlumbaan 200 meter itu sebagai pelumba ketiga terbaik Asia dengan pelumba China, Zhong Tianshi (10.820s) dan Gong Jinjie (11.068s) menempah tempat sebagai antara 28 pelumba bagi peringkat seterusnya masing-masing di kedudukan kelima dan 15.

Namun begitu Fatehah yakin bahawa beliau akan melakukan lebih baik bagi acara sprint dan kierin pada kejohanan Asia di Tokyo pada November.

Mengenai langkah beliau seterusnya, beliau berkata beliau akan berehat selama dua minggu untuk melawat bapanya Mustapa Kassim yang dimasukkan ke hospital atas sebab komplikasi buah pinggang dan strok.

"Ia (keadaan bapanya) bukan alasan atas prestasi saya di sini," katanya.

Sementara itu pengurus pasukan Datuk Amarjit Singh mempertahankan prestasi Fatehah dengan berkata pelumba itu telah menunjukkan peningkatan berbanding kejohanan dunia Mac lalu.

"Sudah tentu kita mahu melihatnya layak bagi peringkat 1/16, namun usahanya masih boleh dipuji. Catatan masanya di sini merupakan masa kedua terbaik yang diperolehnya.

"Saya tidak fikir berlaku sesuatu kesilapan dengan perlumbaannya," katanya.

Malaysia menaruh harapan tinggi kepada Azizulhasni Awang untuk memberi pingat emas pertama buat negara di olimpik apabila turun mengambil bahagian bagi acara kierin pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain