suria

Tekanan Memuncak Buat Malaysia Dalam Pusingan Terakhir Olimpik

Penerjun negara Ooi Tze Liang (kiri) dan Pandelela Rinong Pamg (dua, kiri) memberi sokongan kepada Ng Yan Yee yang bertanding dalam acara separuh akhir tiga meter papan anjal di Maria Lenk Aquatics Centre pada Temasya Sukan Olimpik Rio 2016 pada awal pagi Ahad. - fotoBERNAMA

RIO DE JANEIRO: Malaysia berada di bawah tekanan yang hebat untuk mendapatkan pingat emas pertama kerana Sukan Olimpik Rio kini memasuki pusingan terakhir sebelum melabuhkan tirai, genap seminggu dari sekarang.

Negara jiran yang lain iaitu Thailand, Vietnam dan Singapura sudahpun meraih pingat emas mereka di sini, Malaysia masih menunggu prospek emas pada badminton, berbasikal dan terjun.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang terbang ke Rio dua hari lepas, mengakui bahawa peluang pingat emas berada di hujung pertandingan.

"Kita perlu memenangi pingat emas pertama di sini. Ini adalah peluang terbaik untuk Datuk Lee Chong Wei melakukannya," katanya kepada media Malaysia pada sidang akhbar selepas melawat kontinjen negara di Perkampungan Sukan di sini, Sabtu.

Beliau berkata saat genting kini tiba untuk tiga sukan tersebut menyerlah dan tambahan pingat daripada ratu terjun Pandelela Rinong adalah lebih baik dan pingat ketiga dari sukan terjun akan menjadi sesuatu yang luar biasa.

Pandelela dan Cheong Jun Hoong memperoleh pingat pertama, perak, di Rio dalam acara 10m platform seirama Selasa lepas dan pemenang pingat gangsa di Sukan London 2012 akan membuat percubaan terakhirnya dalam acara 10m platform individu pada Selasa.

Khairy berkata atlet kebangsaan dan para pegawai kini berada di bawah tekanan untuk mendapatkan pingat emas di sini.

Ini merupakan tekanan positif bagi atlet untuk menterjemahkannya kepada tenaga positif dan mewujudkan suasana untuk berjaya di saat-saat penting ini, tambahnya.

Selain Chong Wei, Malaysia juga meletakkan harapan kepada pelumba Azizulhasni Awang dalam keirin dan Pandelela.

Khairy, yang bertemu beberapa atlet semasa makan tengah hari di perkampungan itu berkata Azizulhasni, 28, berada dalam semangat yang tinggi dan mempunyai data yang baik mengenai perlumbaannya.

"Beliau di sana (merenung emas) dan perlu mempunyai perancangan yang bagus untuk melaksanakannya kerana keirin merupakan perlumbaan taktikal," katanya.

Khairy berkata memanah, yang pada mulanya antara prospek pingat, telah gagal melepasi pusingan penyingkiran dalam acara recurve berpasukan lelaki dan sekali lagi gagal dalam pusingan individu.

Mengenai gesaan persatuan memanah supaya jurulatih veteran dari Korea Lee Jae Hyung ditukar, Khairy berkata tidak perlu membuat keputusan terburu-buru dan beliau akan melihat dan mengkaji semula prestasi pemanah di sini.

"Kita perlu duduk semeja dengan persatuan memanah mengenai nasib jurulatih ini...mungkin beliau boleh digerakkan untuk membangunkan sukan ini...apa pun kajian akan dilakukan selepas berbincang dengan para pemanah," katanya.

Selain memanah katanya, pelayar Khairulnizam Mohd Afendy dan pelayar wanita Nur Shazin Mohamad Latif juga tidak mencapai jangkaan dan sasaran yang ditetapkan buat mereka.

Khairy akan berada di Rio sehingga final badminton pada 20 Ogos. - BERNAMA

Sukan Olimpik 2016, Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain