suria

Sukan Olimpik: V Shem-Wee Kiong Mara Ke Suku Akhir

Wee Kiong (kiri) dan Goh V Shem selepas berjaya menewaskan pasangan dari Amerika Syarikat Chew Phillip dan Pongnairat Sattawat di Sukan Olimpik Rio pada Jumaat. Foto: Bernama

RIO DE JANEIRO: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan kedua dalam peringkat Kumpulan B acara badminton Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Jumaat.

Pasangan negara nyata bukan saingan buat pasangan Amerika Syarikat, Phillip Chew-Sattawat Pongnairat apabila menang 21-12, 21-10.

Namun beregu nombor 12 dunia itu perlu berdepan pilihan keempat, Fu Haifeng-Zhang Nan dari China dalam perlawanan terakhir esok bagi menentukan juara kumpulan, sekali gus mengelakkan lawan sukar di suku akhir yang diadakan secara kalah mati.

Dalam perlawanan kedua mereka, V Shem-Wee Kiong yang memburu penamat podium dalam penampilan sulung di Sukan Olimpik di sini, tidak banyak dicabar dalam aksi yang berlangsung selama 22 minit itu.

Pasangan negara membuka kempen Olimpik mereka dengan kemenangan ke atas beregu Jerman, Michael Fuchs-Johannes Schoettler 21-14, 21-17 pada Khamis dan berkata mereka mahu meneruskan momentum tersebut ketika berdepan gandingan dari China itu nanti.

"Tahap perlawanan esok pasti berbeza kerana pasangan China itu pasti mahu mengungguli kumpulan ini dan kami juga ingin membuktikan dua kemenangan yang diperoleh telah meningkatkan keyakinan kami," kata V Shem.

Rekod pertemuan kedua-dua pasangan itu terikat 1-1 selepas beregu China tersebut menang dalam pertembungan terakhir mereka di Terbuka Indonesia tahun lepas.

Wee Kiong berkata mereka akan berbincang dengan jurulatih bagi mengesan kekurangan dalam dua perlawanan awal agar lebih bersedia apabila berdepan pasangan China itu.

"Kami akan menyerang daripada mula. Kami mahu memberikan yang terbaik kerana sudah pun layak ke suku akhir," kata Wee Kiong.

Haifeng muncul juara beregu Sukan Olimpik London 2012 ketika berganding dengan Cai Yun -Bernama

V Shem, Wee Kiong, Sukan Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain