suria

PFAM Minta FMLLP, FAM Pandang Serius Isu Jadual Padat

Hairuddin Omar. Foto kredit: PFAM

PETALING JAYA: ISu kepadatan jadual kepadatan jadual perlawanan Liga Super dan Liga Perdana bukanlah sesuatu yang baharu dibangkitkan oleh majoriti pasukan yang bertanding.

Sejak kebelakangan ini, keluhan beberapa jurulatih mengenai jadual padat sudah lali didengari malah ia dilihat saingan liga ini lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti permainan.

Ini kerana terdapat sesetangah pasukan yang terpaksa bermain dalam tempoh tidak sampai 72 jam dan ia menyebabkan pemain-pemain tidak mendapat rehat yang secukupnya atau sekurang-kurangnya tiga hari masa rehat antara dua perlawanan.

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar mengakui perkara ini telah dibangkitkan berulang kali selama ini baik oleh para pemain mahupun para jurulatih, namun agak hairan apabila melihat isu ini masih berlarutan. 

"Saya terpanggil untuk mengutarakan hal ini bagi ke berapa kalinya agar pandangan ini benar-benar diambil perhatian secara serius oleh FMLLP dan FAM.

"Saya melihat kebanyakan jadual perlawanan permainan tidak meletakkan rehat yang secukupnya iaitu minimum tiga hari masa rehat antara dua perlawanan. Antara perkara yang perlu diambil kira dalam penjadualan perlawanan ialah tempoh masa yang diberikan untuk pemain berehat selepas sesuatu perlawanan, dan waktu perjalanan pasukan untuk perlawanan yang seterusnya," jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hairuddin menjelasnya, antara contoh pasukan yang berdepan dengan situasi ini sekarang termasuk pasukan Perak melawan Terengganu (23 Julai 2016) di Ipoh dilangsungkan hanya dua hari masa rehat selepas pertemuan pasukan Felda United bertemu Terengganu (20 Julai 2016) di Jengka. 

"Antara perlawanan permainan lain adalah seperti pertemuan antara Kelantan melawan Pahang (23 Julai 2016) juga hanya memperuntukkan dua hari masa rehat selepas pertemuan antara Selangor bertemu Kelantan (20 Julai 2016) di Shah Alam. 

"Perkara yang sama turut disuarakan oleh Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan apabila tonggak utamanya terpaksa turun beraksi dalam tempoh tidak sampai 72 jam. 

Skuad PKNC FC (jersi oren) antara salah satu pasukan yang terpaksa bermain dalam tempoh kurang daripada 72 jam.


"Keadaan ini berlaku ketika pasukan PKNS FC tidak mendapat rehat yang cukup apabila dijadualkan bertemu dengan DRB Hicom pada Mei yang lalu.

"Malah hal yang sama berlaku kepada skuad PKNS  pada 22 Julai ketika perlawanan menentang Sabah  (22 Julai 2016) di Kota Kinabalu dijadualkan hanya tiga hari selepas bertemu Perak (19 Julai 2016) di Ipoh, termasuk waktu perjalanan pasukan dan tempoh rehat," jelasnya yang juga merupakan pemain skuad Terengganu.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan  masa rehat yang sangat sedikit untuk pemain menjalani proses pemulihan dan rehat dari perlawanan sebelumnya, dan masa perjalanan pasukan yang diambil untuk perlawanan yang seterusnya.

"Keadaan sebeginilah yang akhirnya membawa risiko kecederaan kepada kami, selain kesan keletihan, kelesuan dan seterusnya menjejaskan persembahan di atas padang.

"Saya amat-amat berharap dan menggesa agar FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mengambil serius akan hal ini demi menjaga keadaan para pemain dan seterusnya memastikan kualiti liga berada di tahap yang optimum.

"Agak malang sekiranya kualiti liga menurun hanya disebabkan oleh masalah penjadualan liga yang tidak mengambil kira keadaan para pemain.

"Saya percaya perkara ini masih boleh diperbetulkan dan inilah perkara yang harus menjadi subjek post-mortem oleh FMLLP selepas semusim mengendalikan liga," ujarnya.

Dalam pada itu, Hairuddin berkata, pihak PFAM  berbesar hati untuk sama-sama dipanggil duduk semeja dalam proses penjadualan liga supaya kebajikan para pemain dan kepentingan setiap pasukan dijaga sepenuhnya.

PFAM, FMLLP, FAM

Artikel Lain