suria

Final Wimbledon: Murray Tekad Julang Trofi Kali Kedua

Murray (kanan) bakal menentang Raonic pada aksi akhir Wimbledon Ahad malam.

MENJELANG aksi akhir Wimbledon pada Ahad malam, pemain No.2 dunia, Andy Murray akan cuba menewaskan Milos Raonic untuk menjulang trofi berprestij kali kedua buat dirinya.

"Mungkin sekarang saya lebih teruja dan menghargai saat ini. Ini kerana setiap kejohanan lebih bermakna buat kamu apabila umur semakin meningkat.

"Ketika berusia 18 atau 19 tahun, kamu mungkin tidak terlalu memikirkan betapa bermaknanya sebuah trofi. 

"Saya tahu betapa sukarnya untuk melangkah kaki ke final, lebih-lebih lagi kejohanan ini yang sangat sengit untuk menang," jelas Murray.

Murray,29, bakal merekodkan aksi final ke-11, yang menjadikan bintang tenis Britain ini menyamai rekod Stefan Edbarg, John McEnroe dan Mats Wilander dan ia merupakan perlawanan akhir Wimbledon kali ketiga.

Malah perlawanan ini dianggap peluang terbesarnya untuk merangkul trofi juara apabila berdepan dengan Raonic yang julung kalinya berada di pentas akhir.

Namun, ia tidak mudah memandangkan Raonic 25 tahun dari Kanada kini berada di tangga ke-6 ranking dunia dan dianggap mempunyai servis berbahaya yang boleh mengelirukan lawan.

"Dia mempunyai servis yang terbaik dan sebab itulah dia berada di sini.

"Biarpun perlawanan sebelum ini, kemenangan berpihak kepada saya, tetapi situasi semakin berubah dan dia adalah pesaing tahun ini," tambah Murray.

Sebagai rekod, Murray melakar kejayaan pertama Wimbledon pada tahun 2013 dengan menewaskan Novak Djokovic.

Manakala Raonic mencatat keputusan terbaik dalam kejohanan ini pada tahun 2014 dengan mara ke separuh akhir, namun tewas kepada Roger Federer.

Artikel Lain