suria

Balotelli Kembali Ke Liverpool

Balotelli kembali berlatih di Melwood.

PENYERANG kontroversi Mario Balotelli dilaporkan kembali menjalani latihan pra musim bersama Liverpool.

Pemain berusia 25 tahun itu menghabiskan musim lalu secara pinjaman di AC Milan tetapi kini kembali ke Liverpool dan memulakan latihan di Anfield.

Bekas pemain Manchester City itu gagal tersenarai dalam skuad Itali bagi saingan Euro 2016 dan mengakui dirinya bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak beberapa musim lalu.

"Saya tidak melakukan yang terbaik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya boleh tampil cemerlang tetapi ia memerlukan masa.

"Daripada skala satu hingga 10, saya hanya di skala kelima. Namun saya akan kembali ke skala 10 kerana itu impian saya.

"Saya mahu memenangi Ballon d'Or walaupun saya menyedari kekal di skala kelima daripada 10 pada dua tahun lalu," katanya.

Malah, Balotelli mengakui orang ramai akan memperlekehkan keupayaannya untuk memenangi anugerah tertinggi itu.

"Saya tahu orang akan ketawakan saya apabila saya kata mahukan Ballon d'Or. Namun perkara paling penting adalah saya menyedari kesilapan saya dan masih belum terlambat untuk memperbaikinya.

"Saya mahu mengembalikan kemuncak karier saya dan akan melakukan yang terbaik pada musim akan datang," katanya.

Antara pemain yang turut kelihatan berlatih bersama Balotelli adalah Mamadou Sakho, Lazar Markovic dan Luis Alberto sementara beberapa pemain lain mewakili negara masing-masing pada aksi Euro 2016.



Mario Balotelli, Liverpool

Artikel Lain