suria

Selepas 29 Tahun, Giggs Akhirnya Tinggalkan United

SELEPAS 29 tahun, Ryan Giggs akan menamatkan kerjayanya bersama Manchester United.

Lelaki dari Wales ini telah menolak tawaran bagi menggantikan peranan sebagai jurulatih di bawah pengurus baharu Jose Mourinho selepas percaya kelab ini akan meneliti semula perjanjiannya bagi menawarkan peranan yang lebih penting selepas berkhidmat di bawah David Moyes dan Louis van Gaal.

Wakil Giggs kini sedang berunding dengan United berhubung bayaran kontraknya yang telah memasuki tahun akhir, lapor dailymail.co.uk.


Giggs, 42, akan memulakan peranan ringkas sebagai pengulas ITV untuk Euro 2016 pada malam Khamis.

Sepanjang bersama United, Giggs telah mencatatkan rekod 963 penampilan selepas menyertai kelab ini pada hari lahirnya yang ke-14 pada tahun 1987, dan memenangi Liga Juara-Juara sebanyak dua kali, 13 gelaran Liga Perdana Inggeris dan menjuarai Piala FA sebanyak empat kali.

Difahamkan Giggs masih belum bercakap sendiri dengan Mourinho yang telah pun memulakan tugas bersama pasukannya di Carrington pada Isnin, dan percubaan terakhir untuk mengekalkan pemain legenda yang hanya pernah bermain untuk United, sebagai satu-satunya kelab profesionalnya tidak boleh diketepikan.


Tetapi Giggs nampaknya telah membuat keputusan untuk meninggalkan kelab selepas kecewa dengan cara kelab itu telah dikendalikan sejak kebelakangan ini.

Dia sedar bahawa keputusannya ini akan dilihat sebagai pertaruhan, tetapi orang-orang penting di United dikatakan telah menasihatinya supaya meninggalkan Old Trafford dan meneruskan cita-citanya di tempat lain.

Bekas pemain tengah Wales ini merasakan kelab ini akan meneliti semula perjanjian untuk memberikan jawatan pengurus selepas dia berkhidmat sebagai staf kejurulatihan di bawah David Moyes dan Louis van Gaal.

Apabila United bersetuju untuk membiarkan Mourinho membawa pasukannya sendiri, termasuk orang nombor 2 yang dipercayainya, Rui Faria, Giggs telah ditawarkan peranan yang lebih kecil bertujuan untuk merapatkan jurang di antara skuad senior dan akademi selepas perbincangan dengan Naib Pengerusi Eksekutif Ed Woodward dibuat.

Dia juga telah diberi peluang untuk mencadangkan peranan lain yang boleh dimainkan dalam kelab tetapi diberitahu bahawa peranan utama dalam pasukan tidak lagi menjadi pilihan untuknya.


Giggs telah menghabiskan masanya di Dubai bulan lalu untuk mempertimbangkan tentang masa depannya dan sejak itu telah bertindak memencilkan diri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain