suria

Keadaan Padang Kurang Baik Bukan Alasan Main Sambil Lewa - Kim Swee

KUALA LUMPUR: Keadaan padang yang kurang baik di Stadium Prince Charles Park di Nadi, Fiji tidak harus dijadikan alasan untuk pemain skuad Harimau Malaysia beraksi sambil lewa berdepan negara berkenaan pada aksi persahabatan terakhir Jelajah Oceania, Ahad ini.

Ketua jurulatih skuad negara Datuk Ong Kim Swee berkata selain keadaan padang tidak begitu baik, pemain juga perlu berdepan cuaca panas memandangkan mereka akan beraksi pada 2 petang waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).

"Ini cabaran kepada semua pemain, jadi saya harap mereka mampu membuktikan ia bukan satu masalah untuk kita mendapat keputusan yang baik," katanya dalam satu temu bual yang diperoleh daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan diedarkan pada Jumaat.

Kim Swee berkata skuad kebangsaan terpaksa beraksi pada waktu petang berikutan negara berkenaan tidak mempunyai kemudahan bola sepak mencukupi terutama ketiadaan lampu limpah di hampir kesemua stadium di negara tersebut.

"Saya juga difahamkan keadaan cuaca dijangka bertambah gelap lebih awal, dalam pukul 5 petang di sini, jadi mereka terpaksa mengadakan perlawanan lebih awal supaya perlawanan ini tidak terganggu," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan beberapa pemain yang tidak beraksi pada dua perlawanan terdahulu seperti pemain Pulau Pinang, S. Kumaahran dan pemain Kedah, Muhd Amirul Hisyam Awang Kechik.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan tiga pemain dijangka tidak dapat diturunkan pada aksi berdepan Fiji kerana masih belum pulih daripada kecederaan.

Mereka ialah kapten Selangor Muhd Shahrom Abdul Kalam, pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) Abdul Latiff Suhaimi dan penyerang Johor Darul Ta'zim II, Muhd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Malaysia yang berada di ranking ke-173 dunia menerima kecaman hebat daripada peminat bola sepak negara sebelum ini, setelah kalah mengejut 0-2 kepada pasukan ranking ke-193 dunia, Papua New Guinea di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, Jumaat lepas.

Skuad negara, bagaimanapun bangkit mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan ranking ke-183 dunia, New Caledonia di Stadium Numa-Daly Magenta, Noumea, New Caledonia pada Rabu.

Fiji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain