Jurulatih Kurang Minat Dalami Pengetahuan Biomekanik - Sukan | mStar

Jurulatih Kurang Minat Dalami Pengetahuan Biomekanik

Dr Khairi Zawi.

KUALA LUMPUR: Kebanyakan jurulatih dilihat kurang peka dengan kepentingan fungsi biomekanik, sekali gus tidak mempraktikkan kaedah tersebut dalam setiap sesi latihan bersama atlet.

Hanya segelintir daripada mereka tahu mengenai biomekanik secara asas sahaja, sedangkan komponen tersebut mempunyai banyak lagi cabang yang boleh digunakan dalam sukan dan kehidupan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Dr Khairi Zawi percaya jurulatih di Malaysia ada yang belajar tentang sains sukan terutamanya mengenai biomekanik namun tidak secara menyeluruh.

"Biomekanik bukan sahaja melibatkan pergerakan...ia boleh juga melibatkan jenis pakaian sukan dan juga alat sukan yang digunakan. Bagi setiap jenis sukan, pakaian mereka berbeza, tidak boleh pakai jenis yang sama.

"Ini adalah kerana semua jenis sukan pergerakannya berbeza-beza. Ada yang perlu gunakan kaki, ada juga sukan yang memerlukan hayunan tangan. Pakaian bukan sekadar selesa tapi memudahkan pergerakan," katanya.

Menurut kamus, biomekanik ialah penggunaan aturan mekanikal pada struktur hidup terutama sistem lokomotor tubuh manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, organ, kulat dan sel.

Antara cabang dalam biomekanik ialah biomekanik sukan, ergonomik, kinesiologi, pergerakan haiwan  and  analisis gaya berjalan, muskuloskeletal  and  ortopedik, kardiovaskular, kejuruteraan faktor manusia  and  pekerjaan implan (perubatan), pemulihan prostesis  and  'orthotics' dan alometri.

Namun, hanya biomekanik sukan, pengurusan kecederaan dan ergonomik digunakan secara meluas oleh pengamal sukan negara mahupun antarabangsa.

Di Malaysia, dalam kalangan pengamal sukan terutamanya jurulatih dan atlet sendiri tidak memahami maksud sebenar biomekanik walaupun di negara kita mempunyai pakar bidang tersebut.

Berbeza dengan negara maju seperi Amerika Syarikat dan Eropah, mereka dilihat banyak mengunakan kaedah biomekanik dalam meningkatkan prestasi atletnya yang kebanyakannya berada dalam ranking terbaik dunia.

Contoh mudah, legenda pelari pecut Amerika Syarikat, Carl Lewis mengakui beliau sendiri menggunakan teknik biomekanik yang betul sepanjang penglibatannya dalam olahraga sejak tahun 80-an.

Ia terbukti apabila Lewis, atlet lompat jauh dan pelari pecut, pernah memenangi sembilan pingat emas temasya Sukan Olimpik yang empat daripadanya pada Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles.

Di samping itu, beliau turut meraih lapan pingat emas di Kejohanan Olahraga Dunia.

Mengulas lanjut, Dr Khairi berkata cabang biomekanik yang paling mudah untuk dipraktikkan dalam sukan adalah ergonomik kerana ia bersifat luaran yang melibatkan keselesaan atlet berkenaan.

Namun, sebelum ilmu biomekanik diajar kepada atlet, jurulatih terlebih dahulu perlu belajar dan memahami maksud biomekanik dan tahu cara yang boleh membantu meningkatkan prestasi atlet.

Dr Khairi turut menekankan bahawa dalam usaha memberi pendedahan kepada jurulatih secara khusus, ISN banyak menganjurkan kursus-kursus kejurulatihan dan sains sukan menerusi Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan satu daripada tajuknya adalah biomekanik.

"Semua jurulatih perlu mengikuti kelas berkenaan sebelum boleh memulakan tugas mereka mendidik para atlet namun masalah yang dihadapi kini ialah subjek berkenaan tidak begitu diminati mereka.

"Memang saya akui topik berkenaan agak membosankan dan lebih serius sehingga ada dalam kalangan jurulatih yang beranggapan biomekanik tidak diperlukan dalam sukan," katanya.

Dr Khairi yang juga pakar biomekanik khusus dalam ergonomik, memuji jurulatih bola sepak negara, Datuk Ong Kim Swee yang memahami konsep biomekanik dan beraspirasi menggunakan kaedah tersebut dalam latihan.

Katanya, tidak semua atlet negara mempunyai kemahuan untuk mendalami tentang kepentingan biomekanik melainkan mereka yang dilatih oleh jurulatih antarabangsa seperti ratu skuasy negara, Datuk Nicol David. - BERNAMA

biomekanik , ISN , Dr Khairi Zawi

Artikel Berikut

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain