suria

Piala Thomas: Gandingan Beregu Perlu Bantu - Norza

Aksi Kien Keat-Tan Boon Heong ketika perlawanan suku akhir Piala Thomas menentang Taiwan pada Khamis. Foto: CHAN BOON KAI/ The Star

KUNSHAN: Prestasi tidak menentu dua beregu utama negara selepas empat perlawanan Piala Thomas termasuk menentang Taiwan di suku akhir sememangnya sesuatu yang tidak menggambarkan mereka sebagai pemain senior.

Tidak hairanlah jika kerapuhan beregu utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pasangan veteran Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mencetuskan keresahan ketika skuad negara mengharapkan pengalaman mereka dapat menstabilkan kekuatan pasukan, dan pastinya mampu menyumbang mata.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui keempat-empat pemain beregu itu perlu meningkatkan permainan mereka kerana saingan kian mencabar sebaik memasuki peringkat separuh akhir.

"Kita tidak boleh bergantung kepada pemain perseorangan sahaja pada peringkat kali ini. Beregu juga perlu meningkatkan permainan mereka sebab lawan kita pada separuh akhir, mungkin Jepun atau mungkin juga Denmark. 

"Saya sentiasa bercakap kepada semua pemain, mereka perlu ada mentaliti juara. Tidak kira siapa pun lawan, kita kena teruskan juga kerana untuk muncul juara, sesiapa sahaja di hadapan, kita akan lawan," katanya kepada selepas menyaksikan skuad negara menang 3-1 ke atas Taiwan di suku akhir, Khamis.

Dalam perlawanan itu, gandingan beregu yang dipecahkan ketika pertemuan dengan Korea Selatan, digandingkan semula untuk mengelak berlakunya kekalutan, kata Mohamad Norza.

"Saya rasa mereka selama ini fokus kepada persediaan ke Sukan Olimpik dan apabila kita pecahkan mereka, ia jadi kelam kabut dan kita sudah pun uji perkara ini.

"Cuma pada hari ini, V Shem-Wee Kiong kurang bernasib baik sebab mereka sudah bermain dengan baik dan bersemangat. Cuma nasib tidak menyebelahi manakala Kien Keat pula dilihat bersemangat mengejar setiap pukulan," katanya yang jugaTimbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pada pertemuan terakhir peringkat kumpulan menentang Korea Selatan pada Rabu, gandingan beregu negara dipecahkan dengan V Shem digandingkan dengan Kien Keat manakala Boon Heong dipasangkan dengan Wee Kiong.

Namun kedua-dua pasangan itu gagal menyumbang mata tetapi skuad negara diselamatkan dengan sumbangan mata daripada ketiga-tiga pemain perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Chong Wei Feng, untuk menang dengan 3-2, sekali gus menjadi juara Kumpulan C.

Ketika menentang Taiwan, kekalahan V Shem-Wee Kiong meletakkan bebanan kepada Iskandar, muka baharu dalam kempen Piala Thomas kali ini, manakala aksi Kien Keat-Boon Heong khususnya di set kedua mencetuskan keresahan sebelum menyumbang mata kemenangan. |

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen mengakui skuad itu perlu membincangkan masalah itu bagi mengatasinya dengan segera.

"Tidak dapat dinafikan, jika kita gagal mendapatkan mata daripada beregu, mereka boleh menjadi punca kekalahan pasukan," katanya.

Sementara itu, Kien Keat berkata apa yang sangat diperlukan mereka dalam situasi getir sebegitu adalah semangat dan sokongan daripada rakan sepasukan dan penyokong.

"Bukan kami bermain dengan teruk, mungkin ada sedikit kesilapan tapi mungkin dari segi keberanian, saya rasa masih belum cukup. Kami perlu bincang perkara ini dengan jurulatih," katanya. -Bernama

Artikel Lain