suria

"Jangan Putar Belit Kenyataan Saya" - TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

PETALING JAYA: Pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan satu laporan media antarabangsa yang mendakwa beliau menyebut JDT adalah pasukan yang lebih besar daripada Selangor.

Beliau kecewa dengan laporan tersebut yang didakwa sengaja memutarbelitkan kenyataannya.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers malam Ahad, Tunku Ismail menjelaskan bahawa kenyataan tersebut sebenarnya merujuk kepada populariti skuad Harimau Selatan itu yang semakin dikenali di peringkat global sejak akhir-akhir ini.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk membetulkan beberapa kenyataan tidak bertanggungjawab yang telah dibuat oleh ESPN, melaporkan bahawa saya telah menyebut JDT adalah pasukan yang lebih besar daripada Selangor.

"Yang saya katakan adalah JDT lebih popular di peringkat global dalam tahun-tahun kebelakangan ini kalau dibandingkan dengan Selangor dan pasukan-pasukan lain yang telah memenangi lebih piala," katanya.

Namun dari segi kejayaan, Tunku Ismail berkata pasukan Selangor, Kedah, Perak, Pahang dan Kelantan lebih berjaya berbanding JDT.

"JDT hanyalah sebuah kelab muda yang mempunyai cita-cita besar. Itu sahaja. Oleh itu, jangan memutarbelitkan kata-kata saya.

"Kepada mereka yang tidak selesa dengan JDT, teruskanlah kehidupan anda dan izinkan saya meneruskan sambutan kemenangan dengan keluarga JDT saya," katanya.

TMJ, JDT

Artikel Lain