suria

Siri Piala Dunia: Cabaran Skuad Memanah Negara Berakhir

Aksi salah seorang pemanah negara, Nor Rizah Ishak.

KUALA LUMPUR:  Cabaran skuad negara dalam siri Piala Dunia Memanah yang pertama di Shanghai, China, berakhir apabila terkandas di pusingan pertama acara berpasukan pada Jumaat. 

Dalam acara compound, skuad wanita yang terdiri daripada Nor Rizah Ishak, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Norhayati Al-Madihah Hashim tewas tipis kepada pasukan India.

Mereka yang berhadapan saingan sengit daripada gandingan Lily Chanu Paonam, Purvasha Sudhir Shende dan Khushbu Dhayal, tunduk dengan perbezaan satu mata 223-224.

Terdahulu, mereka melayakkan diri ke pusingan pertama selepas mengumpul 2,038 mata untuk berada di kedudukan ke-11 dalam pusingan kelayakan.

Dalam kategori lelaki, gandingan Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip kalah 230-234 kepada pasukan Denmark yang diwakili Stephan Hansen, Martin Damsbo dan Patrick Laursen.

Skuad compound lelaki itu melayakkan diri ke pusingan pertama selepas berada di kedudukan ke-14 pusingan kelayakan dengan mengumpul 2,081 mata.

Namun nasib berbeza menimpa skuad recurve lelaki negara, yang mencari peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, kerana gagal melayakkan diri ke pusingan pertama selepas berada di kedudukan ke-19 dengan mengumpul 1,966 mata pada pusingan kelayakan.

Begitu juga dengan skuad recurve wanita yang berada di kedudukan terakhir iaitu posisi ke-23 dalam pusingan kelayakan dengan mengumpul 1,762 mata.

Hanya 16 pasukan terbaik pusingan kelayakan kategori lelaki dan wanita marake pusingan pertama.

Skuad negara akan meneruskan aksi mereka dalam siri Piala Dunia Memanah di Medellin, Colombia (10-15 Mei) dan Antalya, Turki (13-19 Jun) yang menjadi medan pemanah negara khususnya dalam acara recurve untuk mencari tiket ke Sukan Olimpik.

Setakat ini, hanya Khairul Anuar Mohamad berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik selepas memenangi pingat emas di Kejohanan Asia di Bangkok, pada November tahun lepas.

Bagaimanapun, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menyasarkan skuad recurve lelaki untuk melayakkan diri dalam acara berpasukan di Sukan Olimpik Riode Janeiro.-Bernama

Skuad memanah, Siri Dunia

Artikel Lain