suria

Tak Perlu Keluar Surat Pelepasan Kepada Atlet Angkat Berat Wanita - MSN Kedah

Nurul Erzuwanie Che Kamarulzaman

ALOR SETAR: Majlis Sukan Negara (MSN) Kedah tidak perlu mengeluarkan surat pelepasan kepada atlet angkat berat Nurul Erzuwanie Che Kamarulzaman yang mahu mewakili negeri lain pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak nanti.

Sebaliknya Pengarah MSN Kedah, Mohd Rizal Mohd Radzi berkata MSN negeri lain yang berminat untuk mengambil atlet tersebut perlu membuat permohonan kepada mereka.

"Masalahnya bukan MSN Kedah yang tidak mahu atlet tersebut, tetapi dia sendiri yang tidak berminat mewakili Kedah. Oleh itu kita tidak perlu keluarkan apa-apa surat kepadanya," katanya kepada Bernama.

Pada Rabu, Nurul Erzuwanie, 20, mengeluarkan kenyataan memohon dilepaskan kerana mendakwa beliau lewat dibayar elaun sejak tahun lepas dan tidak berpuas hati dengan layanan MSN Kedah kepadanya.

Mohd Rizal berkata pihaknya sudah menjelaskan elaun RM300 sebulan dari Oktober hingga Disember 2015 dan elaun RM500 bagi Januari tahun ini kepada atlet berkenaan.

"Namun beliau tidak hadir untuk menjalani latihan dari Februari lalu sehingga kini. Jadi kami tidak akan bayar bagi tempoh tersebut," katanya dan menambah apa yang dilapor dalam media adalah tidak tepat.

Artikel Berikut

Artikel Lain