suria

Dr Noordin Dedah Tiga Sebab Beli FC Bari

PETALING JAYA: Pemilik baharu FC Bari 1908 Datuk Dr Noordin Ahmad mendedahkan sebab beliau membeli kelab Itali yang beraksi dalam Serie B adalah untuk membantu pembangunan bola sepak Malaysia.

Menurut ahli perniagaan dari Malaysia ini, pasukan bola sepak negara hari ini tidak lagi sama dengan skuad negara 30 atau 40 tahun dahulu.

"Saya ada membaca di online mengenai debat bola sepak di Malaysia. Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Dulu Malaysia pernah menjadi antara pasukan terbaik di Asia, tetapi bukan lagi sekarang. Kita pernah mengalah Jepun atau Korea. 

"Skuad Malaysia masih lagi ada, tetapi tidak bekerja keras. Di Malaysia sekarang sedang berdebat bagaimana untuk menaikkan kembali skuad bola sepak negara," jelasnya ketika sidang media pertama bersama kelab FC Bari 1908 di Itali Khamis lalu.

Jelas Dr Noordin, sepanjang berada di Rom, beliau terfikir bahawa bola sepak Malaysia tidak terlalu berminat dalam pembangunan peringkat remaja.

"Peluang pemain remaja Malaysia bermain di Eropah lebih terbuka sekiranya kami ada hubungan dengan kelab ini.

"Kita akan buka akademi remaja. Oleh itu, dua atau tiga pemain remaja terbaik dari Malaysia akan dipilih untuk bermain di sini.

"Ia sebagai inisiatif bagi membantu bola sepak Malaysia pada masa akan datang," jelas Dr Noordin.

Bercerita lebih lanjut , Dr Noordin turut menjelas sebab FC Bari 1908 menjadi pilihannya.

"Sebab ia Serie B dan berpotensi untuk naik ke Serie A dan menjadi terbaik. 

“Tahun lalu saya melawat kelab bola sepak sekitar Rom untuk mencari calon kerjasama dengan bola sepak Malaysia. Akademi Lazio adalah salah satunya.

“Kemudian saya fikir, kalau kelab Rom menang Serie A, ia tidaklah menghairankan.

“Tetapi jika FC Bari menjadi juara Serie A, ia lebih membanggakan. Saya mahu akademi FC Bari memberi peluang kepada pemain muda Malaysia.

"Lima tahun bermula sekarang, saya mahu FC Bari menjadi yang terbaik di kalangan terbaik," katanya.

Sebelum itu, Dr Noordin turut memberitahu beliau terhutang budi dengan Itali.

"Saya tiba di sini pada 24 Disember 2015  dan sepatutnya kembali ke Kuala Lumpur pada 2 Januari lalu. Namun takdir saya tertulis di sini selepas terpaksa mengalami serangan jantung kali ketiga.

"Ketika itu saya fikir saya akan mati di Rom. Tetapi doktor Itali berjaya membantu menyelamatkan saya yang dianggapnya  seperti 'mayat hidup'.

"Ini kali ketiga saya mengalami sukar bernafas selepas 10 tahun. Sebelum ini di di Morocco dan diterbangkan ke Hospital London untuk menjalani 'bypass'. Manakala kali kedua di Kuala Lumpur. Saya melakukan pemeriksaan dan semua doktor mengatakan saya 'okay'.

"Tetapi doktor Itali memberitahu, terdapat tiga saluran jantung saya yang tersumbat.

"Saya terus menjalani pembedahan di sini dan atas nasihat doktor saya tidak boleh menaiki kapal terbang buat sementara waktu, sehinggalah sekarang saya berada di sini," jelasnya.

Datuk Dr Noordin Ahmad, Bari FC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain